Anggota APM melakukan pemantauan dengan mengharung air paras paha di Kampung Sungai Punti dalam mukim Serdang, Bandar Baharu hari ini. - IHSAN APM

18 rumah terjejas banjir, air naik hingga paras paha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR BAHARU – Sebanyak 18 buah rumah di enam kampung dalam daerah ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan berterusan melebihi dua jam sejak petang tadi.

Kawasan terjejas melibatkan empat buah rumah di Mukim Serdang iaitu Kampung Sungai Punti dan Kampung Batu 16 Lombong A, manakala 14 buah rumah lagi di Mukim Relau membabitkan Kampung Paya Semambu, Kampung Tengah Relau, Kampung Kilang Batu dan Kampung Padang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, pemantauan mendapati paras air Sungai Punti berada pada tahap bahaya, manakala Sungai Semambu berada pada tahap waspada.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bandar Baharu menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir serta sungai utama bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas.

“Anggota APM turut membantu penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi sebagai langkah persediaan sekiranya paras air terus meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 10 anggota APM digerakkan dalam operasi pemantauan itu dengan menggunakan sebuah ambulans dan sebuah motosikal selain dilengkapi jaket keselamatan, peralatan pengukur paras air serta kelengkapan lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN