lITERASI kewangan merupakan aspek penting yang seharusnya didedahkan dan diperkukuh dalam kalangan golongan muda terutama mereka yang bakal ke alam kerjaya.
Berbekalkan kesedaran ini, baru-baru ini, lebih 847 pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari sekitar Lembah Klang telah diperkasa dengan pengetahuan literasi kewangan dan kemahiran mengurus wang menerusi InsureLit Youth Programme, satu inisiatif oleh Sun Life Malaysia.
Program yang diadakan dengan kolaborasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta sokongan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menyasarkan untuk mempersiap anak-anak muda Malaysia dengan realiti kewangan dalam kehidupan bekerjaya kelak.
Inisiatif itu datang pada saat usaha memperkukuh ketahanan kewangan kalangan anak muda Malaysia dilihat semakin penting.
Statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 5,272 warga Malaysia berumur 34 tahun dan ke bawah diisytihar muflis antara tahun 2020 dan awal 2026 sekali gus menunjukkan keperluan untuk membina pengetahuan dan tabiat kewangan pada usia lebih muda.
Kini memasuki tahun ketiga, InsureLit Youth Programme terus berevolusi, menunjukkan komitmen Sun Life Malaysia untuk menjadikan literasi kewangan dan pendidikan perlindungan boleh diakses menerusi pelbagai cabang pembelajaran.
Sejak 2024, program tersebut telah melibatkan penyertaan 1,000 pelajar sekolah rendah dan lebih 600 pelajar universiti seluruh Malaysia.
Tahun ini bertempat di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, program ini diperluas kepada komuniti TVET sekali gus mendekati pelajar-pelajar yang bakal memasuki pasaran kerja. Program tersebut dilengkapi latihan teknikal dengan bimbingan keupayaan kewangan praktikal yang membantu pelajar-pelajar untuk menguruskan komitmen mereka, demi masa depan yang lebih cerah.
Melibatkan pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Banting, Politeknik Metro Kuala Lumpur, Kolej Komuniti Selayang dan Kolej Komuniti Ampang, aktiviti-aktiviti penerapan konsep kewangan dalam situasi kehidupan sebenar diadakan. Para pelajar menyertai bengkel, sesi permainan papan interaktif dan modul-modul online.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azman Hasim berkata, membina generasi ketahanan kewangan perlu bermula awal, bukan hanya dengan menyebarkan pengetahuan kewangan tetapi juga membantu anak muda menterjemahkan pengetahuan kepada tabiat kewangan yang bertanggungjawab.
“Apabila pelajar TVET bersedia memasuki alam pekerjaan, memahami bagaimana untuk mengurus pendapatan, komitmen dan perlindungan kewangan merupakan asas penting untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Bagi Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng pula, pendapatan pertama bukan sahaja membawa kebebasan baharu tetapi juga tanggungjawab kewangan baharu.
“Anak muda perlukan lebih daripada kemahiran-kemahiran bajet. Mereka perlu tahu bagaimana untuk melindungi pendapatan mereka, insan tersayang dan masa depan mereka.

“Menerusi program ini kami menukar pengetahuan kewangan kepada tindakan praktikal, jadi mereka boleh memasuki kehidupan pekerjaan dengan lebih yakin dan cekal,” katanya.
Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, A. Azman Arshad berkata, mempersiap pelajar untuk alam pekerjaan juga bermakna melengkap mereka untuk mengurus kehidupan di luar dari bilik darjah.
“Program ini memberikan pelajar pendedahan praktikal untuk perancangan kewangan, perlindungan dan pengurusan wang yang bertanggungjawab yang mana ia kemahiran penting sebaik sahaja mereka mula meraih pendapatan dan membuat keputusan kewangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, semasa program tersebut juga para peserta terpilih mara ke acara virtual treasure hunt anjuran AKPK.
Ia termasuk pengumuman tiga pasukan pemenang yang menerima hadiah wang tunai.
Pasukan Four Real dari Politeknik Banting dinobat juara dan membawa pulang RM3,000, manakala Funky4 dan Teh Ais kedua-dua dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menduduki tempat kedua dan ketiga meraih RM2,500 dan RM2,000.
Ketua pasukan Four Real, Nur Afrina Faqiha berkata, menerusi program ini, mereka belajar bahawa suatu tabiat berbelanja yang kecil boleh menjadi besar.
“Ia menjadikan kami lebih berwaspada tentang pilihan kewangan dan kami harap lebih banyak pelajar akan mendapat manfaat daripada pengalaman ini,” katanya.
















