CHE NORHAYATI (empat dari kanan) menziarahi Hazrizul di rumahnya di Kampung Bukit Tiu, Machang. – TOREK SULONG

RM50 sehari bantu suami cari duit belanja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Kehilangan kedua-dua belah kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis kronik sejak lebih tiga tahun lalu menyebabkan seorang bapa kepada empat anak di Kampung Bukit Tiu di sini hilang keupayaan untuk bekerja bagi menyara ­keluarga.

Hazrizul Abdul Rahman, 49, kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kudrat isterinya, Fauziah Ahmad, 43, yang menjual mi kari di hadapan rumah pusaka peninggalan ibu suami­nya bagi meneruskan kelangsu­ngan hidup mereka sekeluarga.

Hazrizul berkata, pendapatan bersih sekitar RM50 sehari hasil jualan mi kari itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan makanan keluarga serta wang saku persekolahan empat anak mereka.

“Kedua-dua belah kaki terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis.

“Kini, saya hanya mampu mengharapkan isteri yang bertungkus-lumus menjual mi kari untuk menyara keluarga.

“Pendapatan yang diperoleh tidak seberapa kerana banyak perbelanjaan perlu ditanggung, termasuk keperluan persekolahan anak-anak dan kos pembelajaran mereka,” katanya.

Hazrizul memberitahu, kaki kirinya dipotong pada tahun 2000, manakala kaki kanan menjalani prosedur sama pada awal tahun ini selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Katanya, dia turut menghidap tekanan darah tinggi dan ­penyakit buah pinggang serta perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Pusat Dialisis Seroja di sini.

“Kos rawatan dialisis saya ditanggung sepanjang hayat oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial, namun perbelanjaan harian keluarga masih menjadi beban yang sukar ditanggung.

“Saya sebelum ini bekerja di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Kini, kewangan keluarga semakin terhimpit apabila bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 yang diterima selama empat tahun dihentikan sejak tiga tahun lalu,” ujarnya.

Hazrizul berkata, keluarganya berdepan tunggakan bil utiliti apabila bil elektrik mencecah kira-kira RM1,700 setahun, manakala bekalan air pernah dipotong selepas mereka gagal menjelaskan tunggakan kira-kira RM1,000.

Menurutnya, dalam keadaan terdesak, mereka terpaksa me­minjam wang daripada saudara-mara terdekat selain mengharapkan bantuan daripada Pengerusi Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf Society (Mahabah Asnaf Society), Che Norhayati Mohamed.

“Empat anak iaitu Nur Syafiqa Haleeda, 19; Adam Syaqil Farish, 17; Nur Syaqirin Humairah, 14, dan Nur Syakirah Huraiyah, 11, turut menjadi keutamaan kerana saya mahu memastikan pendidikan mereka tidak terabai meskipun hidup dalam serba kekura­ngan,” katanya,

Orang ramai yang ingin ­menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Hazrizul menerusi talian 010-798 6233 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya bernombor  0399541000426307.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN