Perkongsian Eezal Shah pada Threads berhubung hiasan tudung saji dihasilkan ibunya yang turut mendapat perhatian Anwar.

‘Terkejut PM nak beli tudung saji mak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkongsian seorang lelaki berhubung hobi baharu ibunya menghias tudung saji, turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menempahnya untuk dihadiahkan kepada isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi hantaran Threads, Eezal Shah, lelaki tersebut berkongsi gambar tudung saji plastik yang dihiaskan oleh ibunya dengan pelbagai corak dan warna.

“Ibu saya usia 70 tahun, saya galakkan aktiviti tangan macam ni sebab dulu lepas bapak meninggal, mak banyak main telefon. Gaya hidup kurang aktif tidak baik untuknya.

“Sekurang-kurangnya sekarang, hobi baharunya bantu rangsang minda supaya kekal aktif. Apa sahaja yang buatkan dia gembira, teruskanlah,” katanya.

Hantaran itu kemudian mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai, termasuk daripada Anwar yang bertanyakan sama ada dia membuka tempahan tudung saji itu.

“Cantik, kalau jual, saya nak juga boleh? Nak beri hadiah pada Azizah,” komen beliau di ruangan komen hari ini.

Eezal Shah membalas komen tersebut dengan menyifatkannya sebagai penghormatan daripada Perdana Menteri kepada ibunya dan dia akan cuba memenuhi permintaan tersebut.

“Insya-Allah, saya akan sampaikan hasrat Datuk Seri kepada mak saya. Terima kasih atas kesudian Datuk Seri memberikan sokongan terhadap hobi mak saya.

“Sesungguhnya, sokongan dan penghargaan daripada Datuk Seri merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat mak. Insya-Allah, saya akan cuba untuk memenuhi hasrat Datuk Seri,” katanya.

Dalam masa sama, pengguna Threads turut memuji hiasan tudung saji tersebut, selain ada juga menyifatkan ibunya bertuah kerana mendapat tempahan daripada Perdana Menteri.

“Cantik, nak tempah boleh? Ada saiz tak? Kalau boleh nak yang besar. Ambil masa awak, tak terdesak pun,” komen Kakakloveandcare.

“Wah sekali PMX jadi pelanggan pertama,” komen Espressofiqa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN