Gambar keadaan trafik sesak selepas Plaza Tol Skudai, Johor, pagi ini yang dikongsi di Threads.

Tol Skudai sesak teruk, wanita terlepas janji temu doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesesakan teruk trafik selepas Plaza Tol Skudai di Johor pagi ini menyebabkan seorang pengguna jalan raya terlepas janji temu dengan doktor yang ditetapkan pada pukul 11.30 pagi.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita tersebut meluahkan rasa kecewa apabila masih terperangkap dalam kesesakan meskipun sudah memulakan perjalanan seawal pukul 7.40 pagi dari Kempas.

Menurutnya, perjalanan ke Melaka yang pada awalnya dijangka mengambil masa kira-kira tiga jam 30 minit kini sudah berubah sehingga mencecah empat jam 30 minit.

Lebih membimbangkannya, anggaran waktu ketibaannya pada pukul 11.50 pagi menyebabkan dia terlepas janji temu dengan doktor yang telah ditetapkan 20 minit lebih awal.

“Apa yang jem nak ke Melaka ni wei. Fikir nak jumpa doktor je. 7.40 pagi gerak dari Kempas, masih tersangkut dekat Tol Skudai.

“Appointment (janji temu) pukul 11.30 pagi, kalau tak adanya nak tempuh jem macam ni baik sis kerja. Tiga jam setengah jadi empat jam 30 minit eh,” tulisnya.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian netizen yang berkongsi pengalaman berdepan kesesakan di laluan berkenaan.

“Tol Skudai ini kalau dah keluar rumah lambat, tak usahlah lalu. Pergi jalan bawah nun,” komen hafizishaq.

“Haha, saya dah kena tadi. Ini pun baru lepas Simpang Renggam,” komen azzah_malek.

Seorang lagi pengguna turut mengakui keadaan trafik yang sesak selepas melepasi plaza tol berkenaan.

“Fuh, ini betul-betul baru je lepas Tol Skudai ni. Good luck (semoga berjaya),” tulisnya.

Orang ramai turut menitipkan pesanan agar semua pengguna jalan raya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN