PLUS sesak sejak tengah malam menjelang Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Laluan utama di Lebuh Raya Utara-Selatan dilaporkan sesak di kedua-dua arah terutama perjalanan menuju utara sejak tengah malam tadi menjelang sambutan perayaan Deepavali esok.

Kesesakan di beberapa lokasi turut diakibatkan oleh kemalangan serta kenderaan rosak.

Menurut kemas kini PLUS menerusi platform X, trafik dilaporkan mula sesak seawal jam 12.04 tengah malam tadi di laluan arah utara dari Permatang Pauh ke Sungai Dua.

“Keadaan sama dilaporkan dari Slim River ke Sungkai, Hospital Sungai Buloh ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Jasin ke Ayer Keroh, Kulai ke Sedenak, serta Skudai ke Senai.

“Bagi laluan arah selatan pula, trafik turut dilaporkan sesak di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari Bandar Serenia ke Bandar Baru Nilai,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat kemalangan di Kilometer (KM) 420.7 arah utara dari Bukit Beruntung ke Bukit Tagar pada jam 7.31 pagi tadi menyebabkan lorong kecemasan terhalang dan trafik sesak.

“Beberapa kemalangan lain turut menyebabkan gangguan trafik, termasuk di KM81 arah utara dari Ayer Hitam ke Yong Peng Selatan.

“Lorong kiri terhalang akibat kemalangan itu, menyebabkan kesesakan sepanjang tujuh kilometer sebelum meningkat kepada sembilan kilometer berdasarkan kemas kini pada jam 3.06 pagi,” katanya.

Selain itu, katanya, di KM354 arah utara dari Slim River ke Sungkai, kemalangan dilaporkan pada jam 3.27 pagi sehingga menyebabkan lorong kanan terhalang dan trafik sesak.

“Bagaimanapun, kemas kini pada jam 4.29 pagi memaklumkan lorong kanan sudah dibuka semula, manakala lorong kecemasan masih ditutup tetapi trafik kekal sesak,” katanya.

Katanya, kemalangan lain turut dilaporkan di KM409.6 arah utara dari Lembah Beringin ke Tanjong Malim serta KM315 dari Tapah ke Gopeng.

“Sebuah treler rosak di KM320.3 arah utara dari Tapah ke Gopeng pada jam 3.43 pagi menyebabkan lorong kiri terhalang dan trafik sesak.

“Bagi laluan arah selatan, kemalangan dilaporkan di KM227.3 dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat, KM277.6 dari Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale, serta KM267.2 dari Bandar Ainsdale ke Seremban.

“Kemalangan turut dilaporkan di KM160 arah selatan dari Tangkak ke Bukit Gambir menyebabkan lorong kecemasan terhalang dan trafik sesak,” kata PLUS.

Sementara itu, trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bagaimanapun dilaporkan lancar di kedua-dua arah, setakat jam 7 pagi ini.

“Sebelum itu kesesakan dilaporkan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada jam 2.25 pagi membabitkan laluan arah timur dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan Bukit Tinggi ke Lentang.

“Kesesakan sepanjang dua kilometer dan 5.3km berpunca daripada pertambahan jumlah kenderaan. Namun, trafik kembali lancar berdasarkan kemas kini setakat jam 2.30 hingga 7 pagi ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN