LEBIH 15 juta pelancong disasar mengunjungi Terengganu. - GAMBAR HIASAN

ECRL lonjak pelancong ke Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KURANG dua bulan lagi fajar tahun baharu akan menjelma sekali gus Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2027 membuka tirainya.

TMT 2027 amat penting memandangkan sektor pelancongan sangat signifikan dan menjadi antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar Terengganu yang berjumlah RM40.6 bilion pada tahun 2025.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Ariffin Tengku Ahmad berkata, seramai lebih 15 juta pelancong disasar akan mengunjungi negeri Pantai Timur ini.

“Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan mula beroperasi 12 Disember depan diyakini bakal menjadi pemacu kemasukan lebih ramai pelancong lagi ke Terengganu.

“Ia menyebabkan aksesibiliti ke negeri ini terutama dari Lembah Klang semakin meluas dan lebih pantas,” katanya.

Tengku Ariffin berkata, Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan 2027 akan diumumkan tidak lama lagi bagi merangsang kehadiran pelancong ke Terengganu pada tahun hadapan.

Beliau berkata, sebanyak lima kluster utama akan diberi perhatian bagi penganjuran program pelancongan sempena TMT 2027 iaitu seni, budaya dan warisan, alam semulajadi, Kenyir Geopark, pantai dan pulau serta Kuala Terengganu.

“Program pelancongan tersebut telah dirangka oleh Sekretariat TMT 2027 yang melibatkan pelbagai pemegang taruh seperti agensi kerajaan dan swasta, penggiat industri pelancongan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“Sebelum ini pun, TMT 2027 juga telah giat dipromosikan menerusi penganjuran program seperti Karnival Candat Sotong, Pesta Pelita Terengganu dan Monsoon Casting Tournament,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Muhammad Abi Sofian Abdul Halim berkata, TMT 2027 perlu dimanfaatkan agar menjadi pemangkin pertumbuhan Ekonomi Biru menerusi segmen pelancongan marin.

Beliau berkata, Ekonomi Biru merujuk kepada aktiviti ekonomi melibatkan penggunaan sumber laut dan marin secara lestari yang mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Segmen pelancongan marin merupakan salah satu elemen Ekonomi yang berpotensi tinggi di Terengganu.

“TMT 2027 mampu memperkenalkan lagi keindahan pantai dan pulau, kepelbagaian budaya penduduk pesisir pantai, warisan sejarah dan khazanah alam semula jadi Terengganu ke persada global,” katanya.

Muhammad Abi Sofian berkata, TMT 2027 juga membuka peluang untuk meningkatkan penglibatan penduduk setempat dalam aktiviti pelancongan marin bagi menambah pendapatan seiring dengan matlamat Ekonomi Biru.

Menurut beliau, aktiviti pelancongan marin berasaskan Ekonomi Biru berpotensi membuka peluang perniagaan baharu serta mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Antara sektor berpotensi ialah penginapan hotel dan inap desa, pengangkutan bot dan penyediaan makanan.

“Penduduk juga boleh menawarkan perkhidmatan pemandu pelancong, menjual produk makanan dan kraftangan,” katanya.

Muhammad Abi Sofian percaya TMT 2027 mampu memperluaskan lagi peluang perniagaan rakyat Terengganu.

Beliau berkata, ia sekali gus meningkatkan pendapatan mereka selain memperkukuhkan lagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan.

“TMT 2027 strategi penting mencetuskan pertumbuhan Ekonomi Biru menerusi pengukuhan segmen pelancongan marin,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN