fbpx
KEADAAN air Sungai Gedoh, Kahang, Kluang yang bertukar warna keputihan berkeladak dipercayai akibat pelepasan air lombong pasir petang semalam. Foto IHSAN PENDUDUK

Sungai Gedoh bertukar putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Belum reda pencemaran sisa minyak sawit di Sungai Sembrong dua bulan lalu, penduduk di Kahang di sini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama apabila air Sungai Gedoh bertukar putih pekat dan dipenuhi keladak petang semalam.

Insiden yang dipercayai berpunca daripada pelepasan air dari sebuah lombong pasir di bahagian hulu dikesan pada pukul 6.30 petang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada sungai itu untuk mencari rezeki.

Sungai Gedoh merupakan antara rangkaian sungai yang mengalir ke Sungai Sembrong dan Sungai Kahang.

Penyelaras Masyarakat Orang Asli Sembrong, Tok Batin Sari Achu berkata, pelepasan air dari lombong pasir itu berulang beberapa kali meskipun tindakan pernah diambil oleh pihak berkuasa.

“Pada awal September lalu, ribuan ikan dan udang galah mati akibat pencemaran sisa minyak sawit, namun kini sungai sekali lagi tercemar dengan keladak daripada lombong pasir pula.

“Walaupun kejadian kali ini tidak menyebabkan kematian hidupan air, keadaan itu tetap boleh menjejaskan ekosistem sungai, terutama benih anak ikan yang dilepaskan oleh Lembaga Perikanan Johor dua bulan lalu,” dakwanya kepada Kosmo! hari ini.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Mahat Maya bagi menggesa pihak berkuasa khususnya Jabatan Alam Sekitar Johor menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN