ALOR SETAR – Kira-kira satu daripada setiap lima individu yang menjalani saringan awal Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi sekatan jalan raya dari 1 Januari hingga 18 September lalu didapati positif dadah.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam tempoh itu, pihaknya menjalankan sebanyak 258 operasi sekatan jalan raya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Siasatan, Penguatkuasaan Trafik dan Polis Diraja Malaysia di seluruh negara.
“Ia melibatkan sebanyak 3,165 saringan awal dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 643 saringan atau 20.3 peratus direkodkan positif.
“Statistik ini menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada setiap lima individu yang menjalani saringan awal dalam operasi berkenaan dikesan positif, sekali gus menunjukkan keperluan untuk meneruskan operasi pengesanan dan intervensi secara berterusan dan bersasar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata beliau, berdasarkan pecahan mengikut negeri, Selangor merekodkan seramai 285 individu positif daripada 343 saringan awal yang dijalankan.

“Johor pula merekodkan 76 individu positif daripada 624 saringan, Perlis 46 positif daripada 76 saringan dan Kelantan sebanyak 44 positif daripada 236 saringan.
“Pahang merekodkan 42 individu positif daripada 238 saringan, manakala Negeri Sembilan sebanyak 41 positif daripada 379 saringan, seterusnya di Sabah, seramai 29 individu didapati positif daripada 231 saringan dan Kedah seramai 28 positif daripada 68 saringan,” ujarnya.
Menurutnya, AADK akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan saringan, pengesanan dan tindakan susulan yang bersesuaian, khususnya dalam menangani risiko penyalahgunaan bahan terlarang terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, kata Ruslin, secara keseluruhannya, data penyalahgunaan dadah dan bahan sehingga Jun lalu menunjukkan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) menjadi trend masa kini.
“ATS merekodkan seramai 96,447 individu bagi tempoh sehingga Jun lalu, berbanding 97,329 individu bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.
“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 882 individu atau 0.9 peratus. Walaupun berlaku penurunan kecil berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya, ATS kekal sebagai kategori dadah yang perlu diberikan perhatian berterusan dalam usaha pencegahan dan pengawalan penyalahgunaan dadah,” tambahnya.
















