KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati proses penyembelihan ayam dijalankan premis Bhuiyen Sdn Bhd oleh syarikat itu dilakukan mengikut prosedur ditetapkan
Pengarah Latihan, Penyelidikan dan Penyiasatan PPIM, Dr Izham Nayan berkata, pemeriksaan dijalankan pihaknya juga mendapati syarikat berkenaan mempunyai empat sijil penyembelihan dan lesen perniagaan yang sah.
Katanya, beliau menyaksikan proses penyembelihan dan mendapati haiwan berkenaan diproses secara teratur.
“Ayam yang diletakkan di atas tali sawat penghantar mempunyai masa mencukupi sebelum dimasukkan ke dalam air.
“Kami memeriksa keadaan ayam dan mendapati ia tidak mati akibat lemas,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan kaedah penyembelihan ayam yang meragukan di premis berhampiran Pasar Pudu di sini.
Ia terbongkar selepas seorang individu menunjukkan rakaman video kepada sekumpulan aktivis masyarakat.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin kemudian dilaporkan berkata, siasatan perlu bagi mengenal pasti ke mana ayam berkenaan dibekalkan dan dijual bagi memastikan status halal serta keselamatan makanan terjamin.
Susulan laporan itu, Bhuiyen Sdn Bhd menafikan dakwaan syarikat itu terbabit penyembelihan ayam tidak sah seperti yang tular di media sosial. Dalam kenyataan hari ini, pihak pengurusan Bhuiyen menegaskan, syarikat itu serta semua cawangannya tidak terbabit kaedah penyembelihan yang dipaparkan dalam video berkenaan.














