fbpx
Zambry (tengah) bersama peserta Program SheLeads 2026 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek hari ini.

Kepimpinan wanita sektor pendidikan tinggi bukan sekadar kuota- Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kepimpinan wanita dalam sektor pendidikan tinggi perlu berasaskan merit, kemampuan dan peluang yang adil yang mana ia bukan sekadar memenuhi kuota atau peratusan tertentu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ketika ini, sebanyak 46 peratus jawatan kepimpinan pelapis di universiti awam (UA) diisi wanita, namun angka itu masih sekitar 26 peratus di peringkat kepimpinan tertinggi.

“Wanita mempunyai kehebatan dan keupayaan tersendiri dalam memimpin. Saya percaya negara kita mempunyai ramai wanita yang berbakat, berilmu dan berpotensi besar untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan yang lebih tinggi.

“Apa yang penting, kita mesti membuka ruang dan memberikan peluang kepada mereka untuk menyerlahkan kebolehan masing-masing.

“Sebab itu saya sering tekankan, kepimpinan wanita bukan sekadar soal memenuhi kuota atau angka peratusan, tetapi mesti berasaskan merit, kemampuan dan peluang yang adil,” katanya hari ini.

Terdahulu, Zambry sempat meluangkan masa meraikan 44 peserta daripada 20 universiti awam yang menamatkan Program SheLeads 2026 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek.

Katanya, program itu merupakan antara usaha Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menggilap bakat kepimpinan wanita melalui latihan, perkongsian pengalaman dan bimbingan daripada pemimpin berpengalaman.

“Saya turut mengingatkan bahawa usaha memperkasa kepimpinan wanita bukan tanggungjawab wanita semata-mata.

“Ia memerlukan sokongan semua pihak, termasuk kaum lelaki, kerana organisasi yang hebat terbina daripada kekuatan dan keupayaan setiap individu,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga mahu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang benar-benar berkualiti, berwibawa dan mampu membawa perubahan.

“Tahniah kepada semua graduan SheLeads 2026. Terima kasih juga kepada AKEPT dan semua pihak yang mencetus program ini dan diharap akan diteruskan lagi program ini di kesemua kelompok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN