fbpx
Pendedahan terhadap proses penyembelihan ayam bukan perkara baharu sebaliknya telah lama didedahkan dan memerlukan penguatkuasaan tegas pihak berwajib.

KPDN periksa premis terima bekalan ayam diragui sembelihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan pemeriksaan bersasar terhadap pemborong, pengedar, pasar raya dan premis makanan yang dikenal pasti menerima bekalan ayam daripada sebuah premis di Puchong, Selangor yang diragui proses penyembelihannya.

Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, tindakan itu susulan operasi bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor pada 30 Oktober lalu yang menemukan beberapa ketidakpatuhan serius di premis berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), selain keadaan kebersihan dan sanitasi yang tidak memuaskan serta ketidakpatuhan serius dalam proses penyembelihan ayam.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan dokumen invois menunjukkan ayam daripada premis itu dibekalkan kepada beberapa premis perniagaan sekitar Lembah Klang termasuk restoran, pasar raya dan pasar borong.

“Ini menunjukkan produk berkenaan berpotensi sampai kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan pematuhan prosedur penyembelihan, malah menyentuh hak pengguna untuk mendapatkan maklumat benar, tepat dan tidak mengelirukan ketika membuat pilihan pembelian.

Jelasnya, pengguna khususnya beragama Islam berhak mengetahui status sebenar produk yang dibeli dan tidak seharusnya terdedah kepada sebarang bentuk representasi atau perbuatan yang boleh memperdayakan mereka.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang menetapkan syarat perlu dipatuhi pemilik premis makanan halal termasuk aspek pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan, penyajian dan peruncitan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersama pihak berkuasa agama Islam negeri, manakala KPDN bertanggungjawab terhadap aspek penguatkuasaan undang-undang perdagangan dan perlindungan pengguna.

“Tindakan boleh dipertimbangkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan perintah berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN