KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memfailkan representasi baharu bagi menggugurkan pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memberitahu representasi itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok selepas meneliti warkah diterima daripada pihak istana semalam.
Hari ini, sepatutnya ditetapkan untuk hari pertama perbicaraan kes tersebut namun tarikh-tarikh yang telah ditetapkan pada 3, 4, 5, 11, 12, dan 13 November depan dilapangkan berikutan perkembangan terbaharu itu.
Menurut Amer Hamzah, Ahli Parlimen Pagoh itu yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterima menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 26 Oktober lalu.
Amer Hamzah berkata, ekoran perkembangan positif itu, pihaknya akan mengemukakan representasi baharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memohon pertuduhan terhadap anak guamnya digugurkan.
“Tanpa memperincikan secara lanjut, kami ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat perkembangan baharu berhubung kes ini susulan anak guam kami diterima menghadap pihak istana pada 26 Oktober lalu. Semalam, kami menerima satu warkah daripada istana dan berdasarkan perkembangan itu, kami ingin mengemukakan representasi baharu kepada Peguam Negara.
“Kami memohon supaya mahkamah memberikan sedikit masa bagi membolehkan pihak Peguam Negara dan pendakwaan mempertimbangkan representasi berkenaan,” kata peguam itu.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi yang mengetuai pasukan pendakwaan, tidak membantah perkara berkenaan.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin menetapkan 3 Disember ini bagi pemakluman perkembangan representasi berkenaan.
Pada 27 Ogos 2024, Muhyiddin, 79, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang ketika itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa menyebut perkataan menghasut di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara pukul 10.30 malam dan 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.
Pada 27 November 2024, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan Muhyiddin untuk memindahkan perbicaraan kes yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
















