fbpx
Peminat dan pengumpul emas boleh menaiki ECRL untuk ke Kelantan dan Terengganu bagi mendapatkan barangan kemas pada harga rendah.

Naik ECRL beli emas di Kelantan, Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejak awal minggu lalu, harga emas menunjukkan penurunan, ada premis menjual sekitar RM470 segram, paling tinggi kira-kira RM520 segram.

Kejatuhan harga barangan logam kegilaan ramai ini mendorong kedai-kedai emas menjadi tumpuan tidak kira wanita mahupun lelaki, golongan tua serta muda.

Lagi rendah harga segram emas ditawarkan, lagi ramai peminat dan pengumpul barangan kemas termasuk jongkong mengunjungi di premis tersebut.

Buktinya penuh hantaran di media sosial terutamanya Threads, Facebook berkongsi kemeriahan kedai-kedai emas di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Negeri Sembilan, yang terkenal dengan harga yang rendah.

Di hantaran tersebut, masing-masing berkongsi sebut harga segram emas ditawarkan premis berkenaan selain rantai bercorak dinar emas menjadi antara koleksi paling laris dijual. Pusingan harga bermula penghujung Oktober itu adalah yang terendah dalam tempoh tiga bulan.

Justeru, fenomena ini mendorong orang ramai membeli emas baharu bagi menambah koleksi sedia ada atau menukar barangan kemas lama dengan rekaan terkini.

Para suami membeli gelang, rantai untuk isteri, golongan ibu menambah koleksi buat anak selain wanita mengambil peluang untuk ‘rewards’ diri selepas mendapat bonus atau lebihan duit simpanan.

Satu yang pasti ialah kesanggupan peminat emas untuk mencari kedai yang menawarkan harga rendah, rekaan menarik dan berbaloi.

Ada yang sanggup pergi dari satu kedai ke satu kedai lain sehingga premis ketujuh baru mereka temui harga rendah dengan rekaan yang cantik.

Bukan itu sahaja, ada peminat emas yang sanggup merentas negeri, dari Melaka ke Negeri Sembilan sehingga ke Kelantan untuk membeli barangan kemas pada harga yang berbaloi.

Menariknya, kehadiran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada Disember ini dilihat membuka peluang lebih luas kepada industri emas di Kelantan dan Terengganu.

Kesanggupan peminat emas ini mencari lubuk harga rendah secara tidak langsung memberi lonjakan pelangggan baru kepada peniaga emas.

Bayangkan, perjalanan ke Kelantan bukan sekadar untuk menikmati nasi kerabu, budu dan keindahan budaya tempatan, tetapi turut menjadi peluang untuk mendapatkan emas pilihan.

Jika sebelum ini mereka terpaksa menggunakan laluan udara atau pengangkutan darat yang memakan masa berjam-jam, kini dengan adanya perkhidmatan ECRL pengemar emas boleh balik hari apabila perjalanan tidak mengambil masa lama.

Ahli akademik, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dilaporkan berkata, harga emas tempatan dijangka kekal stabil atau meningkat sedikit berbanding paras semasa sehingga hujung tahun ini, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan perubahan struktur ekonomi global.

Justeru, apabila perjalanan ke Kelantan dan Terengganu menjadi lebih mudah, potensi kedatangan pelancong dan pembeli dari negeri lain juga boleh meningkat sekali gus merancakkan ekonomi hiliran lain, termasuk restoran, dan pendapatan pemandu kenderaan e-hailing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN