“JANGAN tengok filem itu, nanti terpengaruh dan jadi pembuli di sekolah atau samseng apabila dewasa nanti.”
Ungkapan sedemikian bukan asing dalam kalangan masyarakat, terutama setiap kali filem atau drama tempatan mengetengahkan kisah buli, gangsterisme, keganasan atau penyalahgunaan dadah.
Belum sempat keseluruhan naskhah ditonton dan mesej difahami, sudah ada pihak yang melabel karya berkenaan sebagai punca keruntuhan moral serta kerosakan akhlak generasi muda.
Kebimbangan itu bukan muncul tanpa sebab apatah lagi apabila kadar jenayah membabitkan golongan muda terus menjadi perhatian dan masalah sosial semakin membimbangkan.
Bagi segelintir pihak, paparan imej dan aksi gangsterisme dalam karya seni dikatakan antara punca utama berlakunya peningkatan kadar jenayah di negara ini.
Beberapa tahun kebelakangan ini, drama High Council dan filem Blood Brothers antara sebutan ramai kerana dikatakan menggalakkan lagi penyebaran hal negatif dalam masyarakat.
Namun, itu hanya pandangan skeptikal segelintir tetapi ada juga menganggap semua yang dipaparkan di layar lebar sekadar hiburan dan memahami mesej.
Persoalannya, mengapa karya seni begitu mudah dipersalahkan setiap kali isu jenayah dan masalah sosial melibatkan golongan muda berlaku?
Hakikatnya, filem bukan ‘sekolah’ yang mengajar seseorang melakukan jenayah. Jika aksi ganas dalam filem dianggap mampu melahirkan samseng, bagaimana pula dengan lambakan kandungan media sosial yang memaparkan keganasan, penghinaan dan budaya buli secara terbuka tanpa sebarang tapisan?
Masyarakat hari ini seharusnya lebih bijak membezakan antara karya yang mengetengahkan nilai moral daripada jenayah dengan karya yang mengagungkan hal negatif.
Mengulas isu ini, pengarah, Ariff Zulkarnain menegaskan bahawa, setiap naskhah seni yang dihasilkannya bermatlamat memberi teladan kepada masyarakat.
Katanya, meski memaparkan adegan negatif, sesebuah naskhah seni tidak sesekali dihasilkan untuk menggalakkan perlakuan tidak bermoral seperti gejala samseng atau penagihan dadah.
“Saya buat filem ketengahkan isu masalah penagihan dadah tetapi tidak ada niat hendak menggalakkan orang mengambil bahan terlarang itu.
“Kami buat karya untuk jadi teladan dan diharapkan penonton menyelami mesej di sebaliknya,” katanya sutradara drama One Cent Thief itu.
Sedar segelintir masyarakat yang kerap melontarkan tanggapan serong terhadap karya seni tempatan, Ariff meluahkan rasa kesal terhadap pihak yang skeptikal dan berfikiran sempit.
“Golongan yang skeptikal akan bercakap apa sahaja. Kadang-kadang sedutan cerita baharu keluar, belum tonton keseluruhan naskhah tetapi sudah terus menuduh karya sebegitu merosakkan masyarakat.
“Hakikatnya, filem itu perlu ditonton dan dinilai terlebih dahulu, barulah membuat penilaian,” katanya.
Ariff berkata, penonton perlu melihat keseluruhan penceritaan bagi memahami sebab sesuatu adegan dipaparkan dan kesan yang ingin diketengahkan oleh pembikin filem.
















