Sebuah pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada 19 September 2026. - AFP

Tiada rakyat Malaysia maut, cedera dalam serangan di lapangan terbang Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiada laporan rakyat Malaysia terkorban atau cedera dalam serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi semalam.

Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan bagi memberikan bantuan yang diperlukan.

“Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan atau merancang untuk ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.

“Memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya mengesahkan status penerbangan dengan syarikat penerbangan sebelum bergerak ke lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan insiden itu, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.

Bagi memastikan komunikasi dapat dilaksanakan dengan segera serta memudahkan penyaluran bantuan konsular, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia supaya mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.

Bagi mendapatkan bantuan segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi talian 00 966 11 488 7098 atau 00 966 11 488 7100 untuk pertanyaan am, talian kecemasan selepas waktu pejabat (00 966 56 300 63190) atau e-mel [email protected].

Wisma Putra memaklumkan, Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan secara rapat dan memberikan maklumat lanjut sekiranya perlu.

Dalam kenyataan hari ini, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan 12 terkorban, manakala 309 lagi cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid semalam.

Mereka yang terkorban terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN