BATU PAHAT – Suasana pilu menyelubungi pertemuan apabila Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, di Kampung Selamat, Yong Peng, di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda turut menitiskan air mata ketika bertemu dan menyampaikan kata-kata semangat kepada keluarga pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan maut di sebuah sekolah di Yong Peng itu.
Keberangkatan Raja Zarith Sofiah pada kira-kira pukul 9 pagi hari ini turut diiringi Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Pertemuan bersama keluarga arwah dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil yang dipimpin Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd. Fauzi Bachok.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan meluangkan masa bertemu bapa arwah, Mohd. Khairool Faisal Khyar, 42, dan neneknya, Jameyah Rabani serta ahli keluarga yang lain.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
Seri Paduka Baginda turut menyampaikan kata-kata semangat dan menitipkan doa buat keluarga agar terus tabah menghadapi dugaan berikutan pemergian Irene Sofiya.
Pertemuan Seri Paduka Baginda bersama keluarga arwah berlangsung selama hampir sejam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Irene Sofiya sebelum ini ditemukan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng pada petang Sabtu lalu sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE














