IMPIAN sejak kecil untuk mengharumkan nama negara akhirnya menjadi kenyataan buat Muhammad Sulaiman Mohd. Suhifullah, 18, apabila terpilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Canoe Polo World Championships 2026 di Duisburg, Jerman baru-baru ini.
Menariknya, perjalanan sukan pelajar jurusan Teknologi Elektrik Pendawaian Tiga Fasa di Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (Adtec JTM), Kampus Kuala Lumpur itu baru sahaja bermula pada 2023.
Namun, dia berjaya membuktikan dan mengembangkan potensi hingga terpilih untuk membawa cabaran negara di pentas dunia dalam sukan canoe polo (polo kanu).
Sulaiman yang beraksi pada posisi keeper berkata, peluang itu bukan sahaja membanggakan dirinya, malah hadir bersama tanggungjawab besar sebagai atlet yang membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya bangga kerana ini merupakan impian saya sejak kecil.
“Saya mempunyai cita-cita untuk membawa sesuatu kepada negara dan apabila mendapat tawaran mewakili Malaysia, saya rasa tanggungjawab sebagai atlet semakin besar,” katanya kepada K-Kampus.
Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, pemilihan ke kejohanan dunia itu turut dipengaruhi pencapaiannya pada 2025 ASEAN Canoe Championship di Putrajaya.
Ketika itu, dia yang masih berada di tingkatan lima berjaya membantu pasukannya (Kanu Putra di bawah Persatuan Kanu Putrajaya) meraih pingat gangsa.

Tambahnya, pengalaman yang dikumpul menerusi latihan dan beberapa kejohanan telah membantunya meningkatkan keyakinan serta kemahiran dalam tempoh yang agak singkat.
“Saya turut menerima sokongan daripada rakan-rakan senior dan keluarga yang sentiasa memberi galakan untuk meneruskan penglibatan dalam sukan polo kanu.
“Kedudukan sebagai keeper memerlukan fokus, ketenangan dan keupayaan membuat keputusan dengan pantas.
“Hal ini kerana setiap kesilapan boleh memberi peluang kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol,” katanya yang dilahirkan di Putrajaya.
Pada masa sama, Sulaiman mengakui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterimanya turut membantu membentuk disiplin diri, khususnya dalam menguruskan komitmen sebagai pelajar dan atlet.
“Pengajian dan sukan kenu memerlukan tumpuan dari segi mental dan fizikal.
“Jadi, kita perlu memberikan fokus dan sepenuh komitmen jika diberi kepercayaan dan apa jua peluang,” katanya.
Anak jati Putrajaya itu mengakui meskipun tidak berjaya membawa pulang pingat pada penampilan di pentas global, pengalaman beraksi menentang pasukan-pasukan elit dunia memberikan pendedahan kompetitif yang sangat berharga buat barisan atlet muda negara sepertinya.
Dia juga telah membuktikan peluang yang diberikan kepadanya dalam bidang sukan berjaya dimanfaatkan sebaik mungkin.
Jejaka itu juga berhasrat untuk terus menyertai lebih banyak kejohananan antarabangsa pada masa akan datang sekiranya diberikan ruang dan kepercayaan.














