PUTRAJAYA – Bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke kekal sabitan dan hukuman denda RM10,000 kerana mengaibkan bekas Naib Canselor universiti itu tujuh tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin selepas menolak rayuan Yan Ke, 29, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman termasuk persoalan undang-undang di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dalam rayuan akhirnya.
Dalam penghakiman panel mendapati pertuduhan terhadap perayu adalah sah selain pihak pendakwaan membuktikan semua elemen kesalahan melangkaui keraguan munasabah dan tiada kegagalan keadilan berlaku.
Pada masa sama penghakiman turut menyatakan tiada kesilapan arah yang ketara oleh Majistret dan tiada asas bagi mahkamah rayuan untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi.
“Kami sebulat suara berpuas hati bahawa rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman adalah tidak berasas. Rayuan ditolak,” kata Hakim Noorin.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz and Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan Yan Ke untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman denda RM10,000 yang dikenakan terhadapnya.
Ini kerana mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, rayuan daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Rayuan memerlukan kebenaran terlebih dahulu dan rayuan hanya boleh dibuat berkaitan persoalan undang-undang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semasa mendengar rayuan atau semakan daripada Mahkamah Majistret.
Pada Oktober 2023, Mahkamah Majistret mendapati Yan Ke bersalah mengaibkan dan membangkitkan kemarahan Naib Canselor UM, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim serta tetamu pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM pukul 10 pagi, 14 Oktober 2019.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Yan Ke yang merupakan lepasan UM dalam bidang kejuruteraan awam itu disabitkan kesalahan dan didenda RM5,000.
Pada 15 April tahun sama, Mahkamah Tinggi menaikkan denda kepada RM10,000 selepas membenarkan permohonan silang pendakwaan berhubung jumlah denda, sekali gus mengetepikan rayuannya bagi sabitan serta hukuman. – KOSMO! ONLINE














