MAYAT seorang mangsa pembunuhan bersiri ditemukan di Ekurhuleni, Afrika Selatan. – AFP

Satu lagi mayat wanita ditemukan, mangsa pembunuh bersiri meningkat 11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHANNESBURG – Polis Afrika Selatan menyatakan semalam bahawa satu lagi mayat ditemukan di kawasan perbandaran di timur Johannesburg, menjadikan jumlah wanita yang dijumpai mati di sana dalam tempoh 10 minggu, meningkat  kepada 11 orang.

Lapan mangsa ditemukan bulan ini dalam siri pembunuhan yang menggemparkan Afrika Selatan, negara dengan kes pembunuhan perkapita tertinggi dunia.

Mayat terbaru  ditemukan pada waktu  tengah hari di kawasan lapang di perbandaran Ekurhuleni, kata polis.

“Sebuah kenderaan syarikat kawalan keselamatan yang meronda di kawasan ini menyedari mayat mangsa  dan memaklumkan kepada polis,” kata jurucakap polis, Brigedier Brenda Muridili.

Maklumat mengenai identiti, umur dan punca kematian wanita itu belum dapat dipastikan.

Perkembangan  itu menyusuli penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel kelmarin berhampiran tanah perkuburan di perbandaran sama.

Ketua polis wilayah, Tommy Mthombeni berkata,  mangsa dipercayai direjam hingga mati, dengan pemeriksaan bedah siasat akan mengenal pasti punca kematian.

Polis semalam berkata, seorang lelaki yang dikaitkan dengan pembunuhan bersiri itu ditahan hampir 400 kilometer dari lokasi kejadian.

Tangkapan itu menjadikan empat orang kini berada dalam tahanan polis berhubung pembunuhan bersiri tersebut. Polis belum mengaitkan mana-mana kes berkenaan.

Sembilan mangsa lain pula dengan  kebanyakan mereka  berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an. Sebahagian daripada mereka ditemukan dalam keadaan bogel, menunjukkan tanda-tanda serangan seksual.

Keganasan berasaskan gender kekal endemik di Afrika Selatan walaupun kerajaan berikrar bertahun-tahun untuk menanganinya.

Pusat Kawalan GBV kebangsaan menerima 6,782 panggilan kecemasan dari 1 hingga 16 September ini, secara purata 424 panggilan sehari, meningkat 21 peratus berbanding tempoh sama pada Ogos 2026. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN