Anggota polis yang bekerja dengan jujur memberikan impak positif dalam kalangan masyarakat.

Masyarakat jangan takut buat aduan – IPCC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kepercayaan rakyat terhadap anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak hanya bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, malah turut berkait rapat dengan integriti, ketelusan dan tatakelakuan setiap anggota pasukan polis.

Justeru, kewujudan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menjadi antara mekanisme penting bagi memastikan sebarang aduan salah laku terhadap anggota pasukan polis dikendalikan secara bebas, telus dan adil. Menurut Pengerusi IPCC, Datuk Zolkopli Dahalan, masyarakat tidak perlu bimbang untuk tampil membuat aduan kerana maklumat pengadu dilindungi mengikut peruntukan undang-undang.

Wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Fahmi Ismail bersama jurufoto, Fariz Rusadio menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan mengenai usaha IPCC memperkukuh keyakinan rakyat terhadap mekanisme pemantauan tatakelakuan anggota pasukan polis.

KOSMO! AHAD: Ramai masih kurang mengetahui mengenai IPCC. Boleh Datuk jelaskan peranan utama suruhanjaya ini?
ZOLKOPLI: IPCC atau Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis merupakan Badan Perkanun Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 [Akta 839] dan mula beroperasi secara rasmi pada 1 November 2023.

IPCC berperanan sebagai badan pemantau bebas mengawasi tatakelakuan anggota pasukan polis bagi memperkukuh akauntabiliti, ketelusan dan integriti pasukan keselamatan tersebut.

IPCC mempunyai empat fungsi yang diperuntukkan dalam Seksyen 4 Akta 839 iaitu menggalakkan integriti dalam kala­ngan anggota PDRM, menasihati kerajaan serta membuat syor bagi menggalakkan integriti, melindungi kepentingan orang awam melalui menangani salah laku dan mengadakan meka­nisme bagi menerima aduan serta menyiasat salah laku anggota pasukan polis.

Selain itu, seksyen 5 Akta 839 turut memberi kuasa kepada IPCC untuk melihat kepada kesejahteraan dan kebajikan anggota pasukan polis.

Peranan utama IPCC mene­rima dan mengendalikan aduan berkaitan salah laku anggota polis, menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut serta mengemukakan syor kepada Suruhanjaya Pasukan Polis.

PDRM juga wajib secepat mungkin melaporkan kepada IPCC kes-kes berkaitan rujukan mandatori iaitu melibatkan jenayah seksual, kecederaan parah atau kematian dalam tahanan atau jagaan anggota polis.

IPCC berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan tatakelakuan, integriti dan akauntabiliti dalam pasukan PDRM sentiasa dipelihara.

Apakah pencapaian paling signifikan IPCC sejak penubuhannya?
Dari aspek pengurusan aduan dan pengendalian siasatan, rekod terkini sehingga 14 Ogos lalu menunjukkan IPCC sejak penubuhannya menerima sebanyak 1,728 aduan. IPCC berjaya memastikan penyelesaian semua aduan bagi tahun 2023, 99 peratus pada 2024, 84 peratus pada 2025 dan 11 peratus bagi tahun ini setakat 14 Ogos lalu.

Jumlah aduan diterima me­nunjukkan masyarakat semakin sedar akan peranan IPCC dalam mengendalikan isu salah laku anggota polis walaupun usia IPCC baru menjangkau tiga tahun sejak penubuhannya.

Sebanyak 22 kertas siasatan dibuka oleh IPCC bagi tujuan siasatan salah laku anggota PDRM di bawah seksyen 25(c) Akta 839 dan 11 siasatan dari jumlah ini telah selesai, manakala selebih­nya dalam tindakan.

Daripada aspek pendigitalan perkhidmatan pula, IPCC berjaya membangunkan Sistem Pengurusan Aduan dan Kendalian Siasatan (SPEAKS) sebagai saluran alternatif pengemukaan aduan yang memudahkan orang awam serta memastikan ketelusan urusan pengendalian aduan.

Kategori aduan ­paling kerap diterima IPCC dan adakah terdapat trend tertentu?
Jika kita lihat statistik tahunan, terdapat peningkatan ke­tara dalam jumlah aduan diterima. Sebanyak 136 aduan diterima pada 2023, meningkat kepada 478 pada 2024, 649 pada 2025 dan setakat pertengahan Ogos lalu 465 aduan diterima.

Kita menjangkakan trend ini akan berterusan apabila rakyat mula mengenali IPCC. Ini terbukti apabila kita turun ke lapangan dan bersiaran di radio Perlis, Kedah, Tawau, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang, jumlah aduan yang diterima melonjak.

Daripada aspek kategori kesalahan pula, trend menunjukkan isu integriti mencatatkan 59 peratus daripada keseluruhan aduan terkumpul.

Tiga kesalahan tertinggi di bawah kategori integriti ini ialah tidak berpuas hati dengan tindakan atau siasatan sebanyak 45 peratus, tiada maklum balas siasatan daripada pihak PDRM sebanyak 15 peratus serta tidak menjalankan siasatan atau tiada tindakan diambil sebanyak 11 peratus.

Trend ini menunjukkan kebimbangan dan ketidakpuasan hati utama masyarakat bukan berkaitan salah laku jenayah berat atau rasuah oleh anggota di lapangan, sebaliknya kelemahan dalam pengendalian siasatan oleh anggota PDRM.

Orang awam sentiasa mengharapkan PDRM dapat menjalankan siasatan dengan telus, cekap dan berkesan serta melaksanakan prosedur yang ditetapkan.
Sekiranya tiada tindakan proaktif bagi menangani situasi ini, ia boleh menyebabkan defisit kepercayaan terhadap integriti anggota PDRM.

Bagaimana IPCC memastikan proses siasatan dijalankan secara bebas, telus dan adil kepada semua pihak?
Proses siasatan dijalankan se­perti diperuntukkan di bawah Seksyen 27 dan Seksyen 28 Akta 839.

Pegawai penyiasat IPCC boleh mendapatkan sebarang dokumen, sama ada dokumen sulit atau dokumen biasa, untuk rujukan siasatan.

Selain itu, pegawai IPCC juga boleh memanggil mana-mana saksi berkaitan bagi menjalankan pemeriksaan lisan atau merakam percakapan pegawai PDRM, kakitangan awam atau orang awam bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

Siasatan IPCC adalah bebas kerana proses siasatan merangkumi pengadu, pegawai yang diadu dan saksi-saksi terlibat termasuk orang awam.

Setelah siasatan selesai, satu Laporan Dapatan Siasatan (LDS) yang komprehensif akan disediakan dan dibentangkan dalam Jawatankuasa Aduan (JKA) sebelum keputusan atau syor akhir diputuskan oleh Mesyuarat Suruhanjaya.

Melalui rantaian semak dan imbang yang telus ini, IPCC memastikan setiap keputusan siasatan adalah adil, saksama dan bebas daripada sebarang campur tangan luar.

Sepanjang IPCC beroperasi, apakah faktor yang lazimnya menjadikan sesuatu siasatan itu mencabar?
Setiap aduan yang diterima IPCC mempunyai cabaran dan kompleksiti tersendiri. Pada prinsipnya, IPCC tidak menganggap sesuatu aduan itu mudah untuk diselesaikan tanpa penelitian yang menyeluruh.

Pengendalian siasatan menjadi lebih mencabar apabila saksi mempunyai hubungan kerja atau hierarki dengan pegawai yang disiasat, khususnya jika pegawai yang diadu merupakan pegawai atasan mereka.

Pegawai yang berada di bawah mungkin berasa bimbang im­plikasi terhadap kerjaya mereka. Tekanan dalam persekitaran kerja atau hubungan profesio­nal juga boleh timbul sekiranya mereka memberikan keterangan yang menyentuh pihak tertentu.

Selain itu, sikap defensif dalam kalangan pihak yang disiasat atau pihak berkepen­tingan turut boleh menimbulkan cabaran dalam proses mendapatkan fakta dan gambaran sebenar sesuatu kejadian.

Masih terdapat persepsi masyarakat yang bimbang untuk tampil membuat aduan. Apakah jaminan IPCC kepada pengadu dari segi kerahsiaan?
Persepsi ini biasa kerana apabila perkara yang hendak diadukan melibatkan anggota penguat kuasa, pengadu mungkin mempunyai kebimbangan mereka akan dikesan oleh pihak ber­kenaan.

Jadi, pengadu tidak perlu bimbang untuk tampil membuat aduan kepada IPCC.
Kerahsiaan maklumat di­lindungi di bawah Seksyen 42(1)(a) Akta 839 dan turut tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan kerahsiaan, termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Semua pihak terlibat dalam pelaksanaan tugas IPCC terikat dengan kewajipan menjaga ­kerahsiaan. Maklumat pengadu tidak didedahkan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan dibenarkan undang-undang.

Apakah inisiatif baharu IPCC untuk meningkatkan keyakinan rakyat­ terhadap mekanisme pemantauan tatakelakuan polis?
IPCC baru me­lancarkan inisiatif penyerahan Poster Aduan IPCC pada 27 Julai 2026 kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan

Basri mewakili Ketua Polis Negara yang turut disaksikan Menteri Dalam Negeri sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri bulan Julai.

Poster aduan itu dilengkapi kod QR untuk mengakses sistem SPEAKS dan akan dipamerkan secara meluas di sudut informasi semua formasi dan balai polis di seluruh negara.

Inisiatif ini membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat rasmi dan membuat aduan terus ke sistem kami dengan mudah, pantas dan telus. Untuk fasa seterusnya, IPCC akan mempamerkan poster di tempat awam yang strategik.

Permulaan ini kita pamerkan di premis-premis PDRM dan selepas ini akan dipamerkan di tempat-tempat awam bagi membolehkan orang ramai membuat aduan kepada IPCC jika mereka terkesan dengan perlakuan salah laku anggota polis.

Selain pengurusan a­duan, apakah usaha IPCC dalam aspek pencegahan salah laku?
Mulai 2025, Program Cur­bing Misconduct Culture (CMC) dilaksanakan sebagai salah satu usaha berterusan IPCC bagi membendung budaya salah laku melalui pendekatan pencegahan dan pendidikan.

Program CMC lebih kepada pencegahan. Apabila kita me­nerima maklumat mengenai anggota atau mana-mana pasukan polis, kita akan terus berdepan dengan anggota tersebut bagi mengetahui sejauh mana ­kebenaran ­perkara yang dimaklumkan kepada kita.

Kita berharap melalui pelaksanaan ini, kita dapat melaksa­nakan usaha pencegahan. Bukan tujuan untuk menghukum tetapi lebih kepada pencegahan.

Bagaimana pula dengan pemantauan terhadap kebajikan anggota PDRM?
Program lawatan pemantauan kami, iaitu Regular Engagement Programme (REP) berjaya melawat 301 lokasi formasi PDRM di seluruh negara setakat Julai lalu bagi memastikan standard kepolisan, tadbir urus lokap dan kebajikan anggota pasukan polis berada pada tahap optimum.

Kita bukan hanya melihat kepada aduan salah laku tetapi turut diberi kuasa untuk melihat kebajikan anggota pasukan polis. Melalui REP, kita dapat mengetahui­ keadaan anggota pasukan polis bekerja, lokap dan kuarters yang mereka duduki.

Hasil dapatan REP, kita akan membuat syor kepada kerajaan mengenai langkah-langkah perlu diambil bagi menambah baik kesejahteraan dan kebajikan anggota dalam pasukan PDRM.

Setakat ini, hasil daripada REP yang dilaksanakan, kita mengemukakan dua syor kepada kerajaan iaitu syor penambahbaikan bagi pelaksanaan pemeriksaan kesihatan ke atas orang kena tahan di lokap PDRM dan syor penambahbaikan tadbir urus perkhidmatan ICT di PDRM untuk dipertimbangkan dan selepas ini kita akan susul dengan lebih banyak syor.

Apakah salah tanggapan yang Datuk ingin be­tulkan mengenai peranan IPCC?
Slogan kami ialah ‘Berwibawa, Prihatin, Saksama’. Saya ingin menekankan kepada seluruh anggota PDRM bahawa nilai prihatin adalah salah satu teras utama peranan IPCC.

Suruhanjaya ini wujud bukan sekadar untuk menyiasat aduan salah laku, tetapi kami memiliki kuasa dan tanggungjawab dari segi undang-undang untuk menasihati kerajaan mengenai penambahbaikan kesejahteraan dan kebajikan anggota polis.

Elemen prihatin ini diterjemahkan melalui lawatan REP kami ke balai, lokap dan kuarters kediaman anggota PDRM. Kami juga mendengar dan me­ngumpul isu-isu prasarana, perumahan yang usang, beban tugas terlampau tinggi di jabatan tertentu sehinggalah kepada isu kesihatan mental dan keberhutangan serius dalam kalangan anggota pasukan polis.

Semua dapatan berkaitan isu kebajikan anggota PDRM kami teliti secara terperinci supaya dapat diangkat dan disediakan syor penambahbaikan kepada kerajaan.

Apakah pesanan Datuk kepada anggota PDRM dan masyarakat mengenai pe­ranan IPCC?
Mesej saya jelas, kepada anggota PDRM, laksanakan tugas dengan jujur dan berintegriti. IPCC adalah rakan strategik yang sentiasa membela kebajikan dan memelihara nama baik pasukan keselamatan negara.

Kepada masyarakat pula, marilah kita ­bekerjasama dengan IPCC demi menjadikan PDRM sebuah pasukan yang dihormati, ­berintegriti tinggi dan dipercayai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN