fbpx
Anggota polis menjalankan siasatan di sebuah rumah berkaitan kes bunuh di Taman Tiram, Kulim malam tadi.

Datang balai polis serah diri selepas tikam isteri 13 kali hingga maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Pertengkaran sepasang suami isteri dipercayai kerana cemburu berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita maut selepas ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat di rumah mereka di Taman Tiram, di sini malam tadi

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 39 tahun mengalami kecederaan tujuh tikaman di bahagian dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, selepas kejadian berdarah itu, suspek yang berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas pada pukul 8.40 malam memaklumkan dia menikam isterinya.

“Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 9 malam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulim di Balai Polis Lunas,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan awal di rumah teres satu tingkat itu mendapati kejadian berlaku di dalam bilik tidur utama yang turut didiami suspek, mangsa dan anak mereka yang berusia tiga tahun.

“Terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil dan beberapa barangan di atas katil,” katanya.

Syamsul berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat pertengkaran antara pasangan tersebut berkaitan cemburu dan masalah rumah tangga.

“Suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat berukuran 20 sentimeter.

“Selepas kejadian, suspek mandi sebelum mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja turut memaklumkan kepada kakaknya dia telah menikam isterinya sebelum hadir ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarga dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam. Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, ujian air kencing mendapati suspek bebas pengambilan bahan terlarang dan tiada rekod lampau.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN