PETALING JAYA – Selera seorang pelanggan sebuah restoran barbeku terbantut selepas mendakwa menemui beberapa ekor lipas merayap di dalam bekas makanan ketika mahu menikmati hidangan, semalam.
Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna Threads menerusi akaun @aqilahmaria_ yang memuat naik rakaman menunjukkan beberapa ekor serangga dipercayai lipas berada di dalam bekas berisi daging mentah, berhampiran bekas udang.
Menurut wanita berkenaan, kejadian tersebut menyebabkan dia trauma selain mengingatkan orang ramai supaya memeriksa makanan terlebih dahulu sebelum menjamahnya.
“Kejadian semalam. Sumpah trauma! Tengah lapar nampak benda macam ni. Sebelum makan, periksa dulu makanan korang,” tulisnya.
Perkongsian berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata meluahkan rasa geli dan bimbang terhadap aspek kebersihan premis makanan.
Seorang pengguna, @chaagxafiyya berkata, dia baru sahaja membawa ibunya menikmati hidangan di restoran berkenaan sebelum mengetahui mengenai kejadian itu.
“Aku baru je bawa mak aku makan sini, kemain sedap dia kata. Ni kalau dia tahu ni bergelodak perut,” katanya.
Sementara itu, @aajdanick pula meluahkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan dapur restoran.
“Makan dekat luar memang best, lagi-lagi barbeku macam ni. Tapi risau macam nilah, kebersihan ‘out’,” komennya.
Pengguna @eykaanabielaa pula mencadangkan supaya kejadian itu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar pemeriksaan serta tindakan sewajarnya dapat dilakukan.
Dalam pada itu, pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan menerusi satu kenyataan di ruangan komen memaklumkan bahawa mereka memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan di premis terbabit.
Menurutnya, pasukan operasi telah hadir ke lokasi sejurus menerima laporan bagi menjalankan pemeriksaan bersama pihak restoran dan tindakan susulan sedang diambil.
Pihak pengurusan turut memberi jaminan akan terus memantau perkara berkenaan bagi memastikan standard kebersihan sentiasa dipatuhi demi keselesaan serta keselamatan pengunjung. – KOSMO! ONLINE














