BUDAYA ‘dress to impress’ dalam kalangan tetamu Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) bukan sesuatu yang asing dalam acara fesyen kerana ia memberi ruang kepada individu menampilkan gaya dan identiti masing-masing. Namun, apabila gaya berlebihan telah menyebabkan fokus terhadap karya pereka semakin terpinggir.
Adakah pereka sendiri perlu lebih aktif mengetengahkan karya, proses kreatif dan identiti koleksi masing-masing di platform digital?
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid, budaya ‘dress to impress’ mempunyai dua sisi dan tidak semestinya dilihat secara negatif.
“Di satu sudut, ia menghidupkan suasana minggu fesyen dan menunjukkan fesyen bukan sekadar apa yang berlaku di atas pentas, tetapi juga bagaimana masyarakat menginterpretasikan dan memakai fesyen dalam kehidupan mereka sendiri,” katanya kepada Kosmo!
Katanya, street style juga boleh menjadi sebahagian daripada keterujaan minggu fesyen kerana keberanian tetamu bereksperimen dengan gaya menunjukkan mereka selesa melihat fesyen sebagai bentuk identiti dan budaya.
Namun, keseimbangan tetap penting kerana KLFW pada asasnya diwujudkan sebagai platform untuk mengetengahkan bakat, idea dan karya pereka tempatan.
“Bagi saya, tetamu sepatutnya menjadi sebahagian daripada cerita fesyen itu, bukan mengambil alih cerita.
“Walaupun penampilan tetamu mempunyai tempatnya sendiri, ia tidak seharusnya mengatasi cerita utama iaitu koleksi, kreativiti, craftsmanship dan perjalanan setiap pereka yang telah menghabiskan berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, membina identiti,” katanya,
Dalam era media sosial, kandungan pantas, visual dan mempunyai unsur kejutan lebih mudah mendapat perhatian.
Satu gambar dengan penampilan luar biasa boleh difahami dalam beberapa saat, sedangkan untuk menghargai sesebuah koleksi, khalayak perlu memahami siluet, fabrik, teknik pembuatan dan inspirasi di sebalik rekaan.
Faizal berkata, pereka juga perlu memainkan peranan dalam memastikan karya mereka mendapat perhatian di platform digital.
“Kita perlu memberikan mereka cerita yang menarik untuk dibicarakan.
“Ceritakan siapa yang menghasilkan tekstil itu, berapa lama prosesnya, apakah teknik yang digunakan, mengapa pereka memilihnya dan bagaimana ia diterjemahkan kepada bahasa fesyen kontemporari.
“Pereka, penganjur, media, influencer dan tetamu mempunyai peranan dalam memastikan karya kekal mendapat perhatian dan mengelakkan KLFW lebih dikenali sebagai acara sosial berbanding platform industri fesyen,” ujarnya.
Katanya, tetamu dan pereka boleh diraikan bersama, namun pereka perlu kekal sebagai fokus utama.
“KLFW sebagai sebuah ekosistem. Glamour, selebriti, street style, media sosial dan networking semuanya mempunyai peranan, tetapi di tengah-tengah semua itu, karya pereka tetap menjadi jantung kepada sebuah fashion week,” tambahnya.














