KLUANG – Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mengedar dan memilki dadah serta tinggal lebih masa di negara ini.
Tertuduh, Nanda Afrizal, 19, yang merupakan warga Indonesia hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Nanda didapati mengedar dadah jenis heroin seberat 17,842 gram (g) dan methamphetamin dengan anggaran berat 8,109g.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3 petang, 13 September lalu di Jalan Delima Taman Lian Seng di sini. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Nanda turut didakwa memiliki methamphetamin seberat 5.25g pada masa dan tarikh serta di lokasi sama. Oleh itu, dia dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan keempat, lelaki itu mengaku bersalah tinggal di Malaysia setelah tamat tempoh lawatan sosial pada 8 Oktober 2025.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman tidak menawarkan sebarang jaminan bagi pertuduhan pertama dan kedua dan menetapkan 25 November untuk sebutan semula kes.
Bagi kesalahan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap. – KOSMO! ONLINE














