PETALING JAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) didapati menutup ruangan komen pada hantaran di media sosial rasmi agensi berkenaan.
Menerusi pemerhatian Kosmo!, akses ke ruangan berkenaan disekat meliputi laman rasmi Perhilitan di Facebook, Instagram dan TikTok ketika orang ramai masih menuntut penjelasan berhubung beberapa persoalan yang timbul khususnya terkini, berkaitan gajah tular bernama Sulong.
Sebelum ini, Sulong mencuri perhatian orang ramai selepas beberapa rakaman tular memaparkan haiwan itu berjalan di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli dalam keadaan luka pada kaki hadapan kanannya.
Perhilitan dalam kenyataan semalam memaklumkan, Sulong masih mampu makan serta bergerak dengan baik selain bertindak menggiring gajah itu kembali ke kawasan hutan dan memantau pergerakannya.
“Namun, haiwan itu didapati masih kembali ke kawasan jalan raya menyebabkan pemantauan serta tindakan menggiring akan diteruskan dua kali sehari, masing-masing pada waktu siang dan malam,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, ramai pengguna media sosial yang setia mengikuti perkembangan Sulong dilihat masih mempersoalkan tindakan serta tatacara pengendalian pihak berkaitan terhadap haiwan berkenaan.
Selain itu, netizen turut menuntut penjelasan lebih terperinci mengenai perkembangan terkini Sulong dan perancangan yang akan dilakukan seterusnya dalam memastikan kebajikan haiwan liar itu terbela. – KOSMO! ONLINE














