LONDON – Tottenham Hotspur dilaporkan mengalihkan perhatian dengan memburu penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta yang dianggap mampu lebih efektif berbanding Dominic Solanke bagi memperkuatkan jentera serangan musim ini.
Mateta, 29, muncul antara penyerang yang mencuri perhatian sejak dua musim terakhir selepas membantu Palace menjuarai Piala FA dan Liga Konferens Europa, selain prestasi cemerlangnya turut membolehkan dia mendapat tempat dalam skuad Perancis ke Piala Dunia.
Situasi kontrak Mateta yang hanya berbaki setahun di Selhurst Park membuka peluang buat Tottenham apabila pemain itu dilaporkan sudah menolak beberapa tawaran perjanjian baharu, sekali gus berpotensi memaksa Palace mempertimbangkan penjualan pada harga lebih rendah.
Bekas pencari bakat Tottenham, Mick Brown mendakwa kelab London itu sememangnya mahu mendapatkan seorang lagi penyerang selepas barisan serangan sedia ada termasuk Solanke dan Richarlison masih belum cukup meyakinkan.
“Tottenham mahu mendapatkan penyerang pada musim panas ini. Saya rasa jelas mereka tidak berpuas hati sepenuhnya dengan pilihan yang ada. Adakah Dominic Solanke dan Richarlison sudah mencukupi? Mereka tidak fikir begitu,” katanya.
Menurut Brown, pengalaman Mateta dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadikannya calon sesuai, lebih-lebih lagi pemain Perancis itu sudah berada dalam radar Tottenham sebelum ini.
Bagaimanapun, Palace tidak bersedia untuk kehilangan tonggak serangan mereka biarpun berdepan risiko kontraknya memasuki tahun terakhir, namun tawaran lumayan daripada Tottenham mungkin menguji pendirian kelab tersebut sebelum jendela perpindahan ditutup. – AGENSI














