Azmir meraikan 359 orang graduan yang menerima sijil SKM dan DKM masing-masing pada Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional MacDonald’s Malaysia Ke-6 di ibu negara.

McDonald’s Malaysia sasar 40% tenaga kerja miliki sijil kemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia menyasarkan 40 peratus tenaga kerjanya memiliki sijil kemahiran melalui Akademi Vokasional McDonald’s menjelang 2028.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sasaran itu memerlukan peningkatan jumlah pelajar akademi berkenaan kepada sekitar 6,000 hingga 7,000 orang setahun berbanding antara 1,500 dan 2,000 pelajar ketika ini.

Jelasnya, operasi McDonald’s di sini memerlukan antara 18,000 hing­ga 20,000 kakitangan, sekali gus menjadikan usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran sebagai antara fokus utama syarikat.

“Insya-Allah kita menyasarkan tahun 2028 untuk mencapai sasaran 40 peratus tenaga kerja McDonald’s memiliki sijil kemahiran melalui program akademi ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia Ke-6 di sini, pada Selasa lalu.

Azmir berkata, pihaknya akan mem­perhebat kerjasama dengan Kolej Vokasional, Kementerian Pendidikan dan Majlis Agama Islam Negeri bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai program berkenaan.

Menurutnya, tumpuan turut di­berikan kepada golongan muda daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya mereka yang berada di luar bandar dan dalam kalangan asnaf.

“Rata-rata pelajar di akademi ini adalah pelajar yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Secara keseluruhan tujuan dan misi kita di Akademi McDonald’s ialah memberi peluang kerjaya dan membangunkan insan bagi anak-anak muda di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 359 graduan diraikan pada majlis konvokesyen berkenaan, dengan para graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

Tegas beliau, program berkena­an bukan sahaja memberi kelayakan yang diiktiraf, malah menyediakan laluan kerjaya kepada graduan un­tuk berkembang daripada kru kepada ketua kru, seterusnya penolong pengurus restoran dan pengurus restoran.

“Insya-Allah di McDonald’s, pe­luang kerjaya untuk graduan-gra­duan ini amat besar.

“Ada antara mereka telah pun menjadi pengurus, penolong pengurus restoran dan juga pengurus besar yang menguruskan tenaga kerja sekitar 60 hingga 70 orang serta mengoperasikan perniagaan bernilai berjuta-juta ringgit melalui pengalaman dan peluang di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, pihaknya komited untuk memastikan akademi ini bukan sekadar menyediakan pekerjaan pertama, malah turut menawarkan laluan kerjaya yang jelas kepada graduan.

“Pengarah Operasi kita sekarang, 80 peratus daripada mereka bermula daripada jawatan kru atau ketua kru.

“Jadi, kesinambungan kerjaya ini amat penting. Selepas mereka habis belajar, kita sediakan peluang pembangunan kerjaya yang jelas,” ujarnya.

Beliau berkata, hala tuju gra­duan juga terjamin susulan program yang disediakan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kelayakan yang diperoleh melalui program disediakan membuka peluang kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di beberapa universiti selepas menamatkan DKM.

“Ketika ini, kita ada lebih 300 pelajar daripada pelbagai universiti mengikuti program Work-Based Learning bersama McDonald’s untuk tempoh antara satu hingga tiga tahun sebelum beroleh ijazah,” katanya.

Mageswaran (tengah) dan Alina (kanan) bergambar kenangan bersama seorang lagi penerima Anugerah Perantis Cemerlang, Siti Harlisa Aina Hartawan.

Penerima Anugerah Perantis Terbaik Keseluruhan pada majlis konvokesyen berkenaan, Mages­waran Nagappan, 43, berkata, Akademi Vokasional McDonald’s membuktikan peluang meningkatkan kemahiran tidak terhad hanya kepada golongan muda.

Katanya, dia sebelum ini pernah bekerja di pejabat, namun kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan, sebelum memilih McDonald’s sebagai peluang baharu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya tidak pernah menuntut di kolej atau universiti sebelum ini, jadi saya ambil kesempatan yang dibe­rikan untuk sambung belajar dan dapatkan sijil SKM.

“Program ini benar-benar memberi peluang kedua kepada individu yang sebelum ini tidak berkesempatan melanjutkan pengajian. Jika ada niat, mesti boleh pergi belajar,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman di akademi berkenaan turut meningkatkan keyakinan diri, seterusnya membuka peluang untuk membina kerjaya lebih tinggi dalam McDonald’s.

Sementara itu, niat untuk membantu ibu menyara keluarga selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorong Nur Alina Amira Abdul Rahim, 21, memilih untuk bekerja, namun keputusan itu akhirnya membuka peluang buatnya melanjutkan pelajaran dalam bidang makanan dan minuman.

“Mak saya kerja sebagai pembersih, pendapatan bawah RM2,000. Tanggungan banyak di rumah. Jadi saya buat keputusan mahu tolong mak saya dan tidak sambung belajar,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik yang juga Penerima Perantis Cemerlang Teori itu berkata, segalanya berubah apabila pengurus restorannya mencadangkan untuk menyertai Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia bagi menimba ilmu dan kemahiran.

Menurutnya, program itu membolehkannya bekerja sambil mengikuti kelas secara berkala, selain perlu menyediakan buku log harian bagi merekodkan perkembangan pembelajaran.

“Saya bersyukur sebab dapat anugerah ini kerana di luar jangkaan saya sebenarnya.

“Bagi perancangan masa depan, saya mahu capai jawatan pengurus, pengurus jabatan kalau boleh. Selain itu saya mahu sambung di peringkat diploma tahun ini,” kata­nya yang kini memasuki tahun ketiga bekerja di McDonald’s.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN