PRISCILLA WU (kiri), Patricia dan Timbalan Pengarah Pembangunan Wanita, Wilayah Persekutuan, Irwan Effendy Bahtiar ketika melancarkan KLWRF 2026 di Kuala Lumpur.

KLWRF 2026 platform perkasa, raikan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, sebuah acara larian terbesar yang menghimpukan kaum wanita di negara ini, Guardian KL Women Running Festival (KLWRF) 2026 bakal diadakan 18 Oktober depan.

Menariknya, lebih 7,000 wanita telah mendaftar KLWRF 2026 sekali gus menghampiri sasaran 8,000 peserta menjelang penganjuran sulung acara berkenaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dianjurkan Score Management dengan Guardian Malaysia selaku penaja utama, acara eksklusif untuk wanita itu menawarkan tiga kategori iaitu 5 kilometer (km), 10km dan 15km.

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan berkata, festival itu dirangka untuk mewujudkan suasana yang membolehkan setiap wanita berasa selesa menyertainya tanpa mengira tahap kecergasan atau pengalaman mereka.

“Wanita banyak menghabiskan masa menjaga orang lain, jadi kami mahu mereka turut memberi perhatian kepada diri sendiri dan berseronok bersama rakan-rakan.

“Aktiviti yang kami sediakan juga direka untuk menggalakkan rasa sayang terhadap diri sendiri, membina keyakinan dan menjalani gaya hidup aktif,” katanya.

Tambahnya, pemilihan konsep eksklusif wanita juga dibuat bagi menyediakan platform dan ruang tersendiri yang membolehkan mereka berasa lebih selesa berkongsi pengalaman, khususnya berkaitan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Sementara itu, Pengarah Urusan Guardian Malaysia dan Brunei, Priscilla Wu berkata, terdapat pengalaman tertentu yang dilalui wanita tetapi mungkin sukar dibincangkan secara terbuka kerana sifatnya yang peribadi.

“Ada perkara yang agak intim dan tidak semestinya mudah untuk dibincangkan secara terbuka.

“Sebab itu kami sediakan ruang perkongsian supaya mereka tidak perlu menghadapinya bersendirian,” katanya.

Pendaftaran KLWRF 2026 masih dibuka hingga 20 September menerusi HeyJom, manakala maklumat lanjut mengenai acara berkenaan boleh diperoleh melalui laman web rasmi serta Facebook dan Instagram KLWRF. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN