fbpx
Ismarubee (kiri) dan isteri, Nor Azila sayu melihat gambar anak mereka, Mohammad Raimi) yang maut terkena renjatan elektrik sewaktu ditemui di rumah mereka di Felda Kerteh 2, Dungun semalam.

Raimi rancang bertunang gadis Sabah tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – ‘Muhammad Raimi pernah luah hasrat untuk bertunang dengan kenalan wanita berasal dari Sabah pada tahun depan’.

Itu perkongsian keluarga kepada Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 24, yang terkorban bersama dua rakan sepasukannya akibat terkena renjatan elektrik ketika mengait kelapa di Weston, Beaufort, Sabah pada kelmarin.

Ibu arwah, Nor Azila Zakaria, 46, berkata, Muhammad Raimi yang mula berkhidmat di Balai Polis Weston pada September 2024 memberitahu mahu berumah tangga selepas adik bongsunya selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.

“Dia (Muhammad Raimi) mengambil berat kebajikan dan pendidikan adiknya. Bukan sekadar sentiasa mengirim duit, apa sahaja keperluan persekolahan termasuk komputer riba pun dibelinya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Kerteh 2, di sini semalam.

Selain Muhammad Raimi, dua lagi rakan setugasnya dari Balai Polis Weston yang terkorban ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40 dan Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29.

Insiden pada pukul 5.50 petang kelmarin berlaku ketika mereka sedang mengalihkan galah besi sepanjang 8.84 meter yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.

Jenazah tiga anggota polis itu akan dibawa pulang ke negeri asal masing-masing selepas selesai menjalani bedah siasat.

Sementara itu, bapa arwah, Ismarubee Ismail, 51, berkata, Muhammad Raimi sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang menjenguk dia dan isteri di Felda Kerteh 2, di sini.

“Kali terakhir dia (Muhammad Raimi) berpeluang pulang ke kampung pada Januari lalu untuk menghadiri kenduri perkahwinan sepupunya.

“Selepas itu, dia tidak dapat pulang ke kampung termasuk pada Aidilfitri dan Adiladha. Selain kekangan jadual tugasan, hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerana tidak dapat memperolehi harga tiket penerbangan yang lebih berpatutan,” katanya.

Ismarubee berkata, dia bagaikan tidak percaya anak keduanya daripada tiga beradik itu meninggal dunia kurang empat jam selepas mereka saling berhubung menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp pada pukul 2 petang.

“Kami dihubungi salah seorang rakan anak (Muhammad Raimi) memaklumkan kejadian tersebut menerusi panggilan video pada pukul 6 petang semalam (kelmarin).

“Pada mula sukar percaya kerana video hanya menunjukkan tiga (mayat) lelaki terbaring di atas tanah sebelum seorang anggota polis lain menghubungi mengesahkan salah seorang mangsa itu anak saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN