fbpx
TANGKAP layar video penemuan mayat seorang lelaki yang dibunuh dan diikat sebelum dicampakkan ke dalam Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat, semalam.

Lelaki dibunuh, diikat sebelum mayat dicampak ke sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Hutang dipercayai menjadi antara motif seorang lelaki dibunuh kejam sebelum mayatnya diikat, dibungkus, dililit dengan jaring sebelum dicampakkan ke dalam Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat.

Mayat mangsa ditemukan orang awam kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam dalam keadaan menyayat hati apabila tangan dan kakinya diikat menggunakan pita pelekat selain terdapat beberapa kesan kecederaan pada pinggang serta lengan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan masalah hutang, namun motif sebenar masih dalam siasatan.

Menurut beliau, hasil siasatan turut mendapati mangsa dipercayai merupakan lelaki yang dilaporkan hilang oleh isterinya pada 29 Julai lalu selepas satu laporan mengenainya dibuat di Mutiara Rini, Iskandar Puteri pada pukul 10.09 malam.

Katanya, pengecaman awal oleh waris terdekat mengesahkan identiti mangsa berdasarkan pakaian serta barangan peribadi yang ditemui bersama mayat berkenaan.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Batu Pahat menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 40 tahun di sekitar Batu Pahat pada hari sama.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah. Polis turut merampas lima buah telefon bimbit disyaki mempunyai kaitan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca akibat masalah hutang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN