PARIS – Sejumlah 1.7 juta satelit yang disasarkan syarikat-syarikat aeroangkasa untuk dilancarkan ke orbit Bumi dalam tahun-tahun akan datang akan membawa ‘akibat buruk terhadap astronomi’, demikian menurut amaran kajian baharu semalam.
Balai Cerap Selatan Eropah (ESO) yang menjalankan penyelidikan berkaitan berkata, rancangan untuk membanjiri Bumi dengan satelit besar dan sangat terang merupakan ‘ancaman serius’ terhadap teleskop pemerhati alam semesta.
Bagi mengekalkan keupayaan manusia meneroka langit malam dengan betul, ESO meminta had maksimum 100,000 satelit mengorbit Bumi.
Kajian itu adalah yang pertama mengira sejauh mana kelompok satelit besar dan sangat terang yang dirancang akan menjejaskan pemerhatian astronomi dengan menjadikan langit malam lebih cerah.
Jumlah satelit yang mengorbit Bumi kini mencapai 14,000 selepas melonjak sejak beberapa tahun lalu, kebanyakannya merupakan kumpulan satelit internet Starlink milik bilionair Elon Musk.
Tetapi itu hanyalah permulaan.
Syarikat SpaceX milik Musk mengumumkan rancangan untuk melancarkan lebih sejuta satelit menjelang 2028 untuk berfungsi sebagai pusat data yang memacu letusan kecerdasan buatan (AI).
Projek lain seperti rancangan ‘Cinnamon’ oleh syarikat permulaan E-Space dan buruj satelit China, CTC-1 serta CTC-2 akan menambah ratusan ribu lagi satelit yang berputar mengelilingi planet Bumi.
Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta satelit tidak lama lagi akan menerangi langit malam, mengaburkan atau menutup pandangan teleskop di daratan.
“Apabila satelit melintasi apa yang kita perhatikan, ia menghasilkan jalur terang pada imej teleskop, melenyapkan apa sahaja di belakangnya,” kata ahli astronomi ESO, Olivier Hainaut.
Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Astronomy & Astrophysics.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah berlaku tetapi masih boleh diurus.
“Tetapi jika kita beralih daripada 14,000 kepada 1.7 juta satelit, kita benar-benar akan menghadapi masalah,” katanya kepada AFP
Kata Hainaut, sama ada anda teleskop bumi yang berada di Perancis, Gurun Sahara atau Chile, langit malam akan menjadi ‘tidak lagi jelas’, sebaliknya menyerupai langit yang dilihat di kota-kota raya’.
“Satelit akan menjadi satu-satunya ‘bintang’ yang kelihatan di langit malam,” demikian menurut ESO.
Jumlah satelit yang begitu banyak akan menjadikan keseluruhan langit malam sehingga empat kali lebih terang daripada biasa, tambahnya. – AFP














