fbpx
ANWAR ketika ditemui pemberita pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon selatan di CREaTE di Alor Gajah, Melaka, hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI

Usah panaskan suasana, Mat Sabu hanya beri pandangan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak memanaskan suasana politik susulan isu semasa berkaitan institusi raja, sebaliknya memberi ruang kepada proses demokrasi berjalan secara matang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu yang mengaitkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, yang didakwa menyentuh institusi raja sehingga dikaitkan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Perkara itu dibangkitkan Mohamad Sabu pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, Johor, kelmarin.

Anwar berkata, isu itu tidak wajar diperbesar kerana ia sekadar pandangan politik dan keadaan semasa masih terkawal hasil perbincangan yang baik bersama Tunku Mahkota Ismail.

“Kita usah panaskan suasana. Dia (Mohamad Sabu) beri pandangan. Saya ada perbincangan sangat baik dengan TMJ. Sangat baik persefahaman.

“Jadi, kita jalankan. Ini pilihan raya biar antara parti. Jangan kaitkan institusi raja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam zon selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Mohamad Sabu pada majlis itu menegaskan bahawa semua pihak perlu mempertahankan amalan demokrasi negara dengan memberi ruang kepada parti politik untuk bersaing secara sihat tanpa mengubah sistem sedia ada.

“Sama ada kita menang atau mereka kalah, itu bukan persoalannya, yang penting pertandingan mesti berlaku antara parti dengan parti.

“Jangan ubah cara demokrasi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Johor.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN