fbpx
Nur Atiqah Asyirah ketika dibawa ke mahkamah pada tahun lalu.

Bekas juruwang pecah amanah mesin wang RM500,000 dijel 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juruwang pasar raya dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan mesin terminal pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah lebih RM500,000.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 29, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah bagi kesemua pertuduhan pada sebutan semula kesnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan, namun hukuman itu berjalan secara serentak bermula hari ini.

Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh yang diamanahkan dengan mesin terminal pin milik pasar raya di Kepong itu menyalahgunakan mesin tersebut dengan mengeluarkan nilai pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch ‘n Go eWallet miliknya pada 7 Januari 2023 hingga 9 Julai 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa atas 12 tuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke Touch ‘n Go eWallet keluarga dan rakan-rakannya dengan cara menebus nilai pin Touch ‘n G, yang mana tertuduh menjadikan terminal pin Touch ‘n Go yang diamanahkan kepadanya oleh pasar raya terbabit untuk mengeluarkan pin Touch ‘n Go eWallet pada Januari 2023 hingga Ogos 2024.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, wanita itu boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu peguam Arik Zakri Abdul Kadir  yang mewakili Nur Atiqah memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa semua pihak.

“Ini merupakan kesalahan pertama  dan tertuduh mengambil tanggungjawab untuk mengaku salah. Disebabkan kes ini, tertuduh juga telah kehilangan pekerjaan selain mengalami kemurungan,” kata peguam itu.

Pada masa sama peguam itu turut memohon memohon anak guamnya dikenakan hukuman rendah kerana tertuduh menjaga ibunya yang diserang angin ahmar selain telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan dan ini kesalahan pertamanya.

“Selama lapan tahun bekerja, tertuduh seorang pekerja yang berdedikasi, berdisiplin dan pernah menerima anugerah. Saya juga mohon mahkamah mengambil kira tertuduh telah dimanipulasi emosi oleh bekas kekasihnya sehingga kekasihnya dapat membeli kenderaan. Perkara ini telah menjadi pengajaran kepada tertuduh dan dia telah insaf,” kata peguam itu lagi.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Batrisya Mohd. Khusri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira perbuatan tertuduh telah membawa kerugian kepada syarikat selain ia dilakukan secara terancang.

“Terdapat transaksi selama dua tahun dan bukannya secara ‘one off’ (sekaligus). Oleh itu perbuatan tertuduh bukan satu kesilapan sesaat tetapi satu siri pengkhianatan amanah,” kata Batrisya.

Mengikut fakta kes, pada 10 Ogos 2024 satu laporan polis telah dibuat oleh pengurus pasar raya itu berkaitan kes pecah amanah.

Ia yang mana perbuatan itu dilakukan tertuduh yang merupakan juruwang apabila disyaki telah mengambil sebuah mesin peranti terminal e-pay tanpa kebenaran pasar raya itu.

Hasil semakan rekod e-pay kemudian mendapati tertuduh telah menggunakan mesin peranti terminal tersebut bagi tujuan tambah nilai e-wallet Touch ‘n Go sejak Ogos 2022 hingga Julai 2024 untuk kegunaan peribadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN