PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kedah (Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor,” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Kuching, Serian (Tebedu), Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sri Aman, Betong (Betong), Sibu (Selangau), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song), Bintulu (Tatau), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Sandakan (Telupid).
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














