fbpx
GAMBAR kenangan Allahyarham Alina (dua dari kiri) bergambar dengan rakan-rakannya.

Rasa tidak sedap hati bapa jadi petanda anak pergi selamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – “Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya memang ada perasaan yang sukar digambarkan. Cara percakapan dan tingkah laku Alina juga sedikit berbeza.”

Demikian kata Mohd. Shapri Ahmad, 57, bapa kepada Alina Mohd Shapri, 23, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah bas di Batu 7 Binjul, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, di sini hari ini.

Katanya, dia tidak menyangka perasaan itu menjadi petanda dia akan kehilangan anak ketiga daripada lima beradik tersebut.

Menurut Mohd Shapri, Alina keluar dari rumah kira-kira pukul 5.45 pagi untuk bekerja di sebuah kilang di Kulim.

“Alina bukan terlepas bas seperti yang diperkatakan orang ramai. Hari ini dia bekerja lebih masa dan memandu kereta sendiri ke tempat kerja. Pada hari biasa, dia menaiki bas kilang.

“Saya memang kurang berkenan dia memandu ke tempat kerja. Perasaan itu sudah lama saya pendam. Cara dia bercakap sejak kebelakangan ini juga membuatkan saya tertanya-tanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Baling hari ini.

Katanya, dia reda dengan pemergian anaknya dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tok Harun, Pulai selepas maghrib hari ini.

Sementara itu, sahabat karib mangsa, Nurul Syazwani Mohd. Lazim, 30, berkata, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihatnya ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja melibatkan rakannya.

“Kami bekerja di tempat yang sama. Alina seorang yang ceria dan baik dengan semua rakan sekerja. Kami selalu keluar makan dan ke mana-mana bersama. Saya tidak sangka hari ini kami kehilangannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut ialah Muhammad Muqri Abu Nayan, 26, seorang guru di Pondok Tahfiz Nadi, Kampung Lanai.

Adiknya, Mohammad Wafi Abu Nayan, 19, berkata, abangnya itu baru mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu.

“Kali terakhir saya bertemu abang adalah semalam. Saya tidak sangka dia terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya ketika dalam perjalanan ke Gerik,” ujarnya.

Menurutnya, jenazah Muhammad Muqri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karangan, Kulim selepas solat asar hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah bas di Batu 7 Binjul, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN