fbpx
Penyelaras komuniti Orang Asli, Chew Ho Beng (kanan) memberi penerangan kepada sukarelawan Orang Asli di Kampung Ampang Woh di Tapah hari ini.

Orang Asli cari Jaslinda di Kem Sukaneka, Gunung Rayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Sukarelawan Orang Asli yang menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki gunung, Jaslinda Saludin, 49, yang sesat di Gunung Batu Putih di sini akan mencari mangsa secara berkelompok di Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.

Tok Batin Kampung Ampang Woh, Bah Lilit, 52, berkata, mereka akan mula mencari mangsa setelah 22 sukarelawan Orang Asli berkenaan tiba di Kem Sukaneka pada Khamis ini.

“Mereka akan memulakan pendakian ke lokasi tersebut bermula di laluan Ampang Woh di kampung ini pada pukul 7 pagi esok setelah cuaca cerah.

“Perjalanan ke sana dijangka memakan masa sehari setengah. Mereka akan berehat terlebih dahulu sebelum memulakan misi pencarian mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dia berkata, antara kaedah yang akan digunakan adalah melakukan pencarian mangsa secara berkelompok di kedua-dua lokasi dikenal pasti berkenaan.

“Sukarelawan Orang Asli akan mencari mangsa di trek masing-masing di sana namun pada masa sama masih mampu melihat antara satu sama lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, mereka terpanggil menyertai misi mencari Jaslinda kerana mempunyai rasa tanggungjawab dan mahu membantu pihak berkuasa mencari mangsa.

“Saya juga mahu berpesan, bagi sesiapa sahaja terutamanya golongan pendaki agar memaklumkan kepada penduduk kampung terutamanya Tok Batin bahawa mereka akan memasuki kawasan pergunungan.

“Jika boleh, bawalah sekali Orang Asli bersama kumpulan pendaki kerana mereka ini berkemahiran serta berpengalaman di kawasan pergunungan ini, selain dapat memberikan bantuan sekiranya berlaku apa-apa,” katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan Orang Asli, Bah Fazil, 56, berkata, dia akan memainkan peranan sebagai penunjuk arah bagi kumpulan berkenaan.

“Saya merupakan antara empat orang penunjuk arah dalam kumpulan 22 orang sukarelawan yang berusia 20 hingga 60 orang ini.

“Pengalaman dimiliki saya akan digunakan untuk membantu golongan muda dalam golongan sukarelawan ini selain membantu kerja-kerja mencari mangsa,” katanya.

Katanya, mereka melakukan persiapan rapi sebelum memulakan pendakian, antaranya memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan mencukupi, selain khemah berada dalam keadaan terbaik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN