KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menggesa agensi pembiayaan mikro mempergiatkan usaha ‘turun padang’ bagi mendekati peniaga kecil, penjaja serta usahawan yang memerlukan sokongan, khususnya mereka berdepan kekangan modal.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting supaya golongan yang berpendapatan rendah dapat menerima penerangan terus mengenai kemudahan pinjaman yang disediakan kerajaan.
Jelas beliau, pelbagai pihak menyediakan pembiayaan termasuk bank-bank tempatan serta agensi kerajaan termasuk Amanah (AIM) Ikhtiar dan Majlis Amanah Rakyat Mara (Mara).
“Kita bincang dengan agensi berkaitan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekun Nasional, Bank Rakyat, AIM, Mara dan Agrobank untuk turun padang, jangan minta mereka datang ke pejabat.
“Turun dan beritahu manfaatnya. Saya lihat ratusan syarikat kecil memulakan perniagaan, tetapi kadang-kadang mereka hanya perlukan pinjaman RM10,000 atau RM20,000,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa mengadakan sesi ‘walkabout’ bagi menyantuni dan beramah mesra dengan penjaja, usahawan mikro serta pengunjung di situ.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kadar bayaran balik pembiayaan dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah juga sangat baik, sekali gus membuktikan golongan itu mempunyai disiplin kewangan yang tinggi.
“Kalau Amanah Ikhtiar, wanita hampir 100 peratus bayar balik. Lelaki pula sekitar 95 peratus, maksudnya bayar balik,” katanya.-KOSMO! ONLINE














