fbpx
Gambar janaan AI guru bersama murid-murid dalam suasana pembelajaran di sekolah.

Cari guru anda, ucap terima kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari Guru diraikan lagi dan seperti biasa, media sosial dipenuhi dengan poster-poster ucapan penghargaan dan video kenangan bersama insan bergelar cikgu.

Ada yang masih ingat nama guru kelas darjah satu dan ada juga yang masih menyimpan gambar-gambar lama yang menyimpan seribu satu kisah tentang alam persekolahan.

Namun di sebalik semua itu, ada satu perkara yang mungkin semakin hilang dalam masyarakat hari ini iaitu budaya menghargai guru secara sebenar dan bukan semata-mata ucapan bermusim di Facebook atau WhatsApp.

Hakikatnya, ramai dalam kalangan kita berjaya melanjutkan pelajaran, mendapat pekerjaan baik dan hidup selesa hari ini kerana adanya seorang guru.

Guru bukan sekadar mengajar matematik, sains atau bahasa Melayu. Mereka sebenarnya membentuk disiplin, akhlak dan keyakinan diri seorang anak kecil untuk berani berdepan dunia sebenar.

Bayangkan seorang guru di pedalaman Kelantan, Sabah atau Sarawak yang sanggup meredah sungai dan jalan balak semata-mata mahu memastikan murid tidak tercicir daripada pendidikan.

Ada pula guru di bandar yang mengorbankan masa bersama keluarga demi menyiapkan pelajar menghadapi peperiksaan penting.

Tidak sedikit juga guru yang menggunakan duit sendiri membeli makanan, alat tulis dan pakaian sekolah untuk membantu murid susah. Semua itu dilakukan secara senyap tanpa mengharapkan pujian.

Mereka mungkin tidak kaya, tetapi merekalah antara insan paling banyak melahirkan orang berjaya di negara ini. Ironinya, apabila seseorang sudah berjaya menjadi doktor, jurutera, pegawai tinggi atau ahli politik, nama guru lama semakin dilupakan.

Lebih menyedihkan apabila ada guru kini terpaksa berdepan tekanan melampau daripada segelintir ibu bapa yang terlalu cepat menyalahkan sekolah setiap kali anak mempunyai masalah disiplin atau pencapaian merosot.

Sedangkan suatu ketika dahulu, ibu bapa menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada guru untuk mendidik anak mereka. Kalau anak dirotan kerana nakal, yang dimarahi ialah anak, bukannya guru.

Hari ini, ada guru yang terpaksa berhati-hati dalam setiap tindakan kerana bimbang dirakam, diviralkan atau dikecam di media sosial. Akibatnya, ramai pendidik memilih untuk berdiam diri walaupun melihat pelajar semakin hilang disiplin.

Dalam masa sama, masyarakat sering terlupa bahawa guru juga manusia biasa. Mereka mempunyai keluarga, masalah kewangan, tekanan kerja dan kesihatan sendiri.

Namun setiap pagi mereka tetap masuk ke kelas dengan senyuman demi memastikan anak-anak mendapat ilmu.

Atas segala pengorbanan itu, hargailah mereka. Percayalah, dalam hidup ini ramai orang datang dan pergi. Namun seorang guru yang ikhlas mendidik akan kekal menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN