fbpx
Kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan April lalu.

Kemas kutip RM143,239 bantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Semangat solidariti warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM143,239 dalam tempoh dua minggu bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu dilaksanakan menerusi inisiatif Kutipan Derma Solidariti Kemas melibatkan Tabika, kelas kemahiran dan program komuniti Kemas di seluruh negara.

Menurut beliau, insiden kebakaran tersebut turut menjejaskan empat Pembantu Pendidik Masyarakat Sukarela (PPMS) yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda selain memberi kesan kepada 83 kanak-kanak daripada empat kelas Tabika di kawasan berkenaan.

“Saya amat tersentuh dengan semangat solidariti dan kebersamaan yang ditunjukkan seluruh warga Kemas dalam membantu mangsa terjejas akibat kebakaran ini.

“Musibah ini bukan sekadar kehilangan kediaman atau kemudahan pembelajaran, tetapi turut memberi kesan kepada kelangsungan pendidikan awal anak-anak yang merupakan amanah besar kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi membantu keluarga kanak-kanak Tabika dan PPMS yang terjejas selain membiayai pembelian peralatan serta bahan pembelajaran.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan semula secepat mungkin demi kepentingan anak-anak didik Kemas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kemas, penyumbang dan semua pihak yang menjayakan usaha solidariti tersebut.

“Semoga nilai kebersamaan dan keprihatinan ini terus menjadi kekuatan kita untuk meringankan beban rakyat yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN