fbpx
Atiq Azman membuat laporan polis selepas tidak menerima maklum balas berhubung majlis akikah anak sulungnya.

‘Dia mengaku rapat dengan PA Wadi Annuar, habis kami ditipu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dakwa ditipu individu yang menyamar sebagai perancang acara, pelakon Atiq Azman membuat laporan polis selepas tidak menerima maklum balas berhubung majlis akikah anak sulungnya.

Atiq atau nama lengkapnya, Raja Mohammad Atiqullah Syah Raja Azman Syah, 26, berkata, dia dan isterinya merancang mengadakan majlis itu pada 8 Mei ini dengan menyerahkan urusan pada individu terbabit, namun mereka kini terpaksa berdepan perkara tidak dijangkakan.

“Sepatutnya lagi seminggu menjadi hari paling bermakna untuk anak saya iaitu majlis akikah dan tahnik bersama Ustaz Wadi Annuar yang kami sudah rancang sekian lama.

“Tapi tak sangka — kami kena tipu dengan orang yang mengaku pemilik dewan di Klassy Space.

“Dan (dia) mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pembantu peribadi (PA) pendakwah selebriti Ustaz Wadi Annuar, penyampai radio, Radin serta kumpulan marhaban sekitar Puchong,” katanya dalam hantaran Instagram.

Lebih mengecewakannya apabila mereka juga sudah melunaskan hampir keseluruhan bayaran bagi tempahan tempat serta urusan berkaitan.

“Semua bayaran hampir selesai cuma tinggal sedikit jumlah sahaja lagi perlu dibayar pada hari Sabtu lalu. Doakan urusan kami dipermudahkan,” ujarnya.

Kongsi pelakon drama Nur itu, perasaan ragu-ragu terhadap kredibiliti pihak berkenaan mula dirasai selepas beberapa perkembangan majlis tidak dilakukan mengikuti perjanjian asal.

“Di media sosial memang nampak betul tapi sebaliknya sampai sekarang dia masih nak tunggu bayaran terakhir kami,” katanya.

Akui Atiq lagi, perkongsian dilakukan bukan mahu menarik perhatian, sebaliknya peringatan kepada orang ramai agar berhati-hati membuat urusan penting di media sosial.

“Saya kongsi bukan nak meraih simpati, cuma nak ingatkan supaya lebih berhati-hati apabila membuat persetujuan dengan mereka yang cuba menipu.

“Sesiapa yang ada hubungan rapat dengan Ustaz Wadi boleh hubungi saya. Harapan isteri saya musnah. Sejak mengandung lagi dia cari cara untuk hubungi Ustaz Wadi untuk tahnik tapi beliau tak ambil dah (undangan),” ujarnya.

Atiq yang mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh, Alia Natasha pada 21 Februari 2025 menimang cahaya mata sulung, Raja Muhammad Aaryan, kini baru mencecah usia tiga bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN