KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera berpangkat kapten didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pempengaruh warga Bangladesh dalam kejadian kemalangan maut di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Jad Faid Arhan, 31, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ili Marisqa Khalizan.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muzahid Millad, 22, di Kilometer 1.9 lebuh raya MEX pukul 5.30 pagi pada 23 April lalu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu, memperuntukkan hukuman mati, atau boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun. Sekiranya hukuman penjara dikenakan, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 21 Julai ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret berlainan tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan terhadap dua individu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan jenis Ford Fiesta di bawah pengaruh minuman memabukkan yang menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan itu.
Perbuatan itu telah menyebabkan kecederaan parah kepada pemandu e-hailing Jailani Sapih, 41, dan penumpangnya Nafisa Tabassum Adiba, 20, yang juga merupakan isteri kepada Muzahid, pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, jika sabit kesalahan.
Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan, kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula semula kes.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.
Semalam Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, keputusan pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebelum ini, media melaporkan mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari sebelum disambung selama dua hari sehingga esok.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi, 23 April lalu, suspek yang memandu sebuah Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.
Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 1.9 lebuh raya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
Kemalangan itu mengorbankan seorang lelaki pencipta kandungan terkenal warga Bangladesh berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Turut cedera ialah pemandu e-hailing yang mengalami kecederaan di kepala serta seorang penumpang wanita berusia 36 tahun dalam Ford Fiesta berkenaan.
Siasatan awal mendapati kenderaan e-hailing itu membawa dua penumpang warga Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika kejadian berlaku.
Hasil ujian pernafasan terhadap suspek menunjukkan bacaan alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian air kencing didapati negatif dadah. – KOSMO! ONLINE














