BANDAR RAYA MEXICO – Polis Bandar Raya Mexico melancarkan pemburuan besar-besaran terhadap seorang ibu mentua yang dikehendaki berhubung pembunuhan kejam seorang bekas ratu cantik, lapor akhbar New York Post semalam.
Suspek dikenal pasti sebagai Erika Maria ‘N’, melarikan diri selepas bekas Miss Teen Universe yang kini berusia 27 tahun, Carolina Flores Gomez ditembak mati pada 15 April lalu.
Dia dilaporkan cemburu terhadap pengaruh mangsa ke atas anak lelakinya, lapor El Universal Mexico.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup(CCTV) di rumah mewah Carolina di Polanco yang merupakan kejiranan paling eksklusif di Mexico, menunjukkan mangsa berjalan ke bahagian belakang rumah untuk mengambilkan segelas air kepada ibu mentuanya.
Maria dilihat mengekorinya sebelum enam das tembakan kedengaran di latar belakang.
Suami mangsa, Alejandro Gomez kelihatan dalam rakaman CCTV beberapa saat kemudian, sambil mendokongh bayi mereka dan bertanya kepada ibunya mengapa dia menembak mangsa.
“Dia membuatkan saya marah. Kamu milik saya dan dia telah mencuri kamu,” kata suspek.
Polis berkata, Alejandro Gomez tidak melaporkan kejadian itu sehingga keesokan harinya. Menjelang waktu itu, ibunya yang dikenal pasti sebagai suspek utama telah melarikan diri.
Suspek kini dikenakan waran tangkap.
Menurut saluran berita Debate, seorang rakan rapat mangsa berkata, Carolina sering diganggu oleh ibu mentuanya sejak dia hamil.
Kes berprofil tinggi ini menggemparkan Mexico dan mencetuskan demonstrasi di Baja California, pada hujung minggu lalu apabila orang ramai menuntut keadilan buat mangsa.
Flores Gomez memenangi gelaran Miss Teen Universe bagi Baja pada tahun 2017. – AGENSI














