KOTA TINGGI – Lelaki yang disyaki menembak mati tiga individu di sebuah restoran Taman Kota Jaya di sini, Ahad lalu akan dituduh esok.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, suspek berusia 71 tahun itu merupakan seorang pekebun akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi dan akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas tiga mangsa terdiri dari dua lelaki dan seorang wanita Vietnam berusia 37 hingga 63 tahun dilaporkan maut selepas ditembak dipercayai bermotifkan hutang peribadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan senjata api jenis shotgun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang, hanya sekitar 200 meter dari tempat kejadian.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah.
Suspek kemudian direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. – KOSMO! ONLINE














