fbpx
Khiew Hoe Yean membawa pulang RM14,250 pada Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2025. - IPT

Hoe Yean penerima tertinggi insentif IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean mencuri tumpuan apabila muncul penerima tertinggi insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2025 selepas membawa pulang RM14,250 hasil prestasi cemerlang di pentas antarabangsa.

Atlet yang mewakili UCSI itu meraih ganjaran tersebut susulan kejayaannya menyumbang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan SEA, selain menghadiahkan satu perak serta mencipta dua rekod kebangsaan pada Sukan Universiti Dunia (WUG).

Namun, di sebalik pencapaian membanggakan itu, Hoe Yean mengakui dia sendiri tidak menjangka akan muncul sebagai penerima tertinggi dalam majlis berkenaan.

“Ini sebenarnya agak mengejutkan. Pertama sekali, terima kasih kepada pihak IPT kerana memberikan insentif kepada semua atlet. Jadi saya sangat menghargainya, ia akan banyak membantu kami,” katanya.

Dalam masa sama, Hoe Yean yang ditemui selepas majlis tersebut di DoubleTree by Hilton, Putrajaya semalam memilih pendekatan berhati-hati dalam menguruskan ganjaran diterima dengan menjadikannya sebagai simpanan masa depan.

“Buat masa ini simpan dahulu. Harapnya pada masa hadapan ada lebih banyak pelaburan yang boleh dilakukan. Selepas kerjaya renang tamat, saya mungkin perlu fikir apa yang akan saya lakukan seterusnya.

“Jadi, ini sebenarnya salah satu sokongan yang saya perolehi daripada IPT, MSN dan juga KBS. Jadi, saya sangat menghargainya,” jelasnya.

Secara keseluruhan, sebanyak RM416,500 insentif diagihkan kepada atlet IPT dalam majlis tersebut sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka, sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat lebih tinggi. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN