KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes Lim Guan Eng hari ini memaklumkan akan meminda salah satu pertuduhan rasuah yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pindaan itu membabitkan perkataan ‘menerima’.
Dalam prosiding hari ini, Wan Shaharuddin berkata pindaan itu bagi memenuhi undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Pindaan itu tidak memberi kesan kepada pertuduhan kerana jumlah suapan RM3.3 juta masih ada dan pembelaan juga kekal menafikan tidak menerima suapan terbabit,” kata Wan Shaharuddin.
Bagaimanapun peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng dengan tegas membantah pindaan itu kerana kes telah berada di peringkat akhir perbicaraan dan prejudis kepada pihak pembelaan.
“Apabila pihak pendakwaan ‘mengeluarkan’ perkataan itu maka seluruh pembelaan yang sudah dijalankan sehingga sekarang, adakah relevan atau tidak?. Kami telah menimbulkan beberapa keraguan berkenaan elemen penerimaan dan keraguan itu adalah relevan kepada pertimbangan mahkamah dari segi kredibiliti dan sebagainya.
“Jadi sekiranya ia dikeluarkan sekarang tanpa sebarang penjelasan dan tambahan pula di akhir peringkat selepas enam tahun, akan memprejudiskan pihak pembelaan,” katanya dalam prosiding hari ini.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azura Alwi membenarkan hujahan berhubung permohonan pindaan itu didengar esok.
Prosiding kemudian diteruskan dengan sesi soal balas oleh pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-37 iaitu ahli perniagaan, Datuk Seri G.Gnanaraja, 44. – KOSMO! ONLINE














