SAUDARA PENGARANG,
Ramai pekerja swasta ketika ini memandang dengan penuh harapan kepada langkah bekerja dari rumah (BDR) yang dilaksanakan dalam sektor awam.
Bagi kami pekerja swasta, fleksibiliti BDR bukan sekadar kemudahan, tetapi satu keperluan untuk menyesuaikan diri dengan realiti semasa.
Jika kerajaan mengambil langkah penjimatan dengan mengurangkan kos operasi melalui pelaksanaan BDR, syarikat swasta juga boleh memulakan usaha yang sama.
Banyak kos seperti elektrik, air serta kemudahan harian boleh dikurangkan, malah dalam jangka panjang, penjimatan ini mampu membantu syarikat bertahan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
BDR juga memberi manfaat besar kepada pekerja. Kami tidak lagi perlu menempuh kesesakan lalu lintas yang memenatkan setiap hari, terutamanya di bandar besar.
Masa yang biasanya dihabiskan di jalan raya boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti kerja atau memberi perhatian kepada keluarga.
Dari sudut kewangan, pekerja juga dapat menjimatkan perbelanjaan harian. Kos minyak petrol, tol, parkir, makan di luar dan penyelenggaraan kenderaan boleh dikurangkan dengan ketara.
Pelaksanaan BDR tidak semestinya perlu sepenuhnya. Syarikat boleh memulakan dengan sistem hibrid seperti dua atau tiga hari bekerja dari rumah dalam seminggu. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, pendekatan fleksibel seperti ini wajar diberi perhatian serius.
Pekerja swasta
Petaling Jaya














