MADINAH – Lokasi strategik yang lebih dekat dengan Masjid Nabawi menjadikan operasi haji Madinah bagi musim 1447H dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan teratur.
Tabung Haji (TH) dalam kenyataan semalam berkata, langkah itu bagi memastikan kebajikan serta keselesaan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.
Katanya, Pusat Pentadbiran Operasi Madinah kini beroperasi di lokasi baharu iaitu Hotel Zaha Taiba yang terletak berhampiran Masjid Nabawi.
“Selain itu, ia dilengkapi kemudahan moden termasuk dapur dan restoran lebih selesa, dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan operasi.
“Bangunan pentadbiran ini menempatkan pelbagai unit penting seperti Unit Pengendalian, Unit Kewangan serta Unit Pengelola Jemaah Haji (PJH),” katanya.
Menurut TH, penempatan jemaah haji Malaysia di Madinah melibatkan tiga zon penginapan utama iaitu Hotel Emaar Royal bagi Zon 1, Hotel Anwar Al Madinah Movenpick bagi Zon 2 dan Hotel Emaar Elite bagi Zon 3.
Katanya, Hotel Emaar Elite yang merupakan bangunan baharu terletak kira-kira 150 meter dari Masjid Nabawi, sekali gus memberi kemudahan kepada jemaah untuk berulang-alik menunaikan ibadah.
Ujarnya, persiapan pembukaan Operasi Haji Madinah bagi musim 1447H berjalan lancar dan kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk menerima haji Malaysia yang dijadual tiba secara berperingkat ke Tanah Suci.
Katanya, seramai 75 petugas tiba lebih awal di Madinah pada 12 April lalu bagi memulakan gerak kerja operasi serta menyelaras segala keperluan menjelang ketibaan kumpulan pertama jemaah.
Katanya, pasukan berkenaan diketuai Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah.
“Daripada jumlah itu, seramai 40 orang merupakan petugas kebajikan, manakala 35 lagi terdiri daripada petugas perubatan yang akan memastikan aspek kebajikan dan kesihatan jemaah sentiasa terpelihara sepanjang berada di Madinah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














