KUALA LUMPUR – UMNO merekodkan sebanyak 6,252 permohonan daripada bekas ahli yang berhasrat menyertai semula parti itu, selain menerima permohonan daripada ahli baharu.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap kebangkitan semula parti berkenaan.
Menurut beliau, beberapa nama besar turut menyatakan hasrat untuk kembali ke pangkuan UMNO termasuk bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan bahawa pemohon-pemohon ini tidak lagi perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi oleh Jawatankuasa Rumah Bangsa.
“Kita telah memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Khaled Nordin untuk meluluskan permohonan tersebut secara serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian RisSMart Grocer di Kwasa Damansara, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO kini mengambil pendekatan baharu dengan memperkenalkan sistem permohonan keahlian secara dalam talian sepenuhnya bagi menarik minat golongan muda.
Katanya, kaedah lama yang melibatkan pelbagai peringkat birokrasi sebelum ini tidak lagi relevan dan kurang digemari generasi muda.
“Sebagai ‘game changer’, mereka kini boleh memohon terus ke ibu pejabat secara dalam talian dan kad keahlian digital akan dikeluarkan hampir serta-merta,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat ramai bekas ahli UMNO yang kini berada dalam parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), telah bertemu dengannya secara tidak rasmi bagi menyatakan hasrat untuk kembali.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti individu terlibat bagi menjaga maruah mereka. – KOSMO! ONLINE.














