fbpx
Anwar semasa berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP, Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu hari ini. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Petronas runding beli minyak dengan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan berunding dengan Russia untuk membeli minyak bagi memastikan bekalan tersebut mencukupi untuk kegunaan rakyat negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, banyak negara Eropah dan Amerika Syarikat yang dahulu menyekat Russia terpaksa berebut membeli minyak dari negara berkenaan.

Menurutnya, sehubungan itu, hubungan Malaysia dengan Russia masih baik dan Petronas boleh menjalankan rundingan dengan negara berkenaan.

“Tindakan diplomasi awal kerajaan berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.

“Ketegangan geopolitik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Eropah memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global apabila harga minyak dan bekalan baja yang menjadi keperluan penting negara,” katanya semasa berucap pada pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, kapal minyak Petronas telah selamat tiba di Pengerang Integrated Complex semalam dan keperluan penghantaran itu penting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ.

Menurutnya, kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan dengan kepimpinan Iran yang membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa mengenai masa depan Selat Hormuz masih menemui jalan buntu.

“Kita akui masih terdapat beberapa kapal negara yang berdepan masalah termasuk kelewatan dan kerosakan, namun usaha sedang giat dijalankan untuk menyelesaikan perkara itu.

“Krisis global itu turut mendorong negara lain mendapatkan kerjasama Malaysia termasuk Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang mengadakan lawatan ke negara ini baru-baru ini bagi membincangkan bekalan petrol, diesel dan baja.

“Keutamaan ditetap kepada keperluan domestik. Jika ada lebihan, kita bantu negara sahabat. Jika tidak, kita fokus kepada rakyat kita dahulu,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN